comscore
Tumpuan :
Nasional

Gaji pengurus, penolong pengurus PEDi naik RM500 mulai Januari

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji sebanyak RM500 kepada 1,322 pengurus dan penolong pengurus Pusat Ekonomi Digital (PEDi) berkuat kuasa Januari depan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain menghargai dedikasi golongan itu, peningkatan gaji tersebut turut menuntut 801 pengurus dan 521 penolong pengurus memperluas inisiatif berkenaan yang memanfaatkan komuniti setempat.

“Oleh kerana pertama, transformasi digital menjadi tonggak dalam strategi ekonomi MADANI, dan kedua melihat prestasi pengurus yang berjaya, baik, dedikasi dan memberi manfaat kepada komuniti sekeliling, saya nak tambah beban lagi (kepada pengurus dan penolong pengurus) supaya setiap PEDi itu dipantau serta memberikan laporan supaya dapat menjurus kepada kelompok lebih luas terutama anak muda, pelajar sekolah, latihan kepada mereka dengan perkenal pelbagai aplikasi dan kecanggihan bidang ini.

“Kalau setuju (dengan tambahan beban), kita tingkat gaji pengurus dari RM2,000 kepada RM2,500 manakala kepada penolong pengurus dari RM1,500 naik RM2,000,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Persidangan PEDi MADANI 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Beliau pada masa sama memberi jaminan bersedia untuk menambah peruntukan untuk memperkasakan peranan PEDi berbanding peruntukan sebanyak RM25 juta sebagaimana yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024.

Selain itu, Anwar menggesa syarikat telekomunikasi untuk memberi lebih tumpuan dalam agenda pembangunan digital dan kecanggihan teknologi termasuk membantu rakyat menerusi PEDi supaya kemudahan terbabit tidak diperolehi hanya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

“Dengan cara sedemikian, kita mampu memaknai apa itu keadilan dan MADANI yakni kita angkat martabat negara dari sudut transformasi digital tetapi kita pastikan kemudahan itu meluas ke semua peringkat.

“PEDi merupakan satu strategi yang sangat penting dan kita harus pastikan ia lebih berhasil, sebab itu saya umumkan kegiatan PEDi diperluas daripada yang ada sekarang, (PEDi) harus ada di setiap pusat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negara. Jadi keluarga PEDi akan lebih besar,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam ucapannya berkata, buat julung kali, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggembleng tenaga bagi membolehkan usahawan makanan PEDi mendapat persijilan halal.

Ujarnya, usaha itu telah bermula di Melaka dan akan diperluas ke negeri lain.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada MCMC, Shopee dan kakitangan PEDi yang telah berjaya mencapai sasaran bagi 2023 untuk mendigitalisasikan seramai 7,000 usahawan menerusi platform e-dagang Shopee dengan nilai jualan sebanyak RM15.7 juta.

“Untuk makluman, sehingga kini, sejumlah RM55.4 juta nilai jualan telah dicapai melalui inisiatif digitalisasi usahawan sejak 2021,” katanya.

PEDi adalah inisiatif KKD melalui MCMC yang memberi peluang kepada komuniti setempat memperkasa kemahiran digital dan menjana pendapatan melalui platform e-Dagang.

Sejak ditubuhkan pada 2007, sejumlah 911 PEDi diwujudkan di seluruh negara setakat ini.

Loading...
Terkini