Tumpuan :
Nasional

Gaji Pembantu Rumah Indonesia Bermula RM1,200 Sebulan

KUALA LUMPUR: Bayaran gaji kepada amah atau pembantu rumah Indonesia, bermula pada kadar RM1,200 sebulan, berdasarkan pelaksanaan gaji minimum semasa.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata kerajaan tidak boleh melaksanakan permintaan Indonesia yang mahu perkhidmatan domestik dari negara itu dibayar pada RM1,500 kecuali atas budi bicara majikan.

“Semasa kita bincang (dengan Indonesia), walaupun saya suka tetapi tidak boleh bersetuju dengan RM1,500 sebab gaji minimum kita adalah RM1,200 jadi mustahil nak bagi RM1,500 walau didesak Indonesia.

“Tetapi ia boleh bermula dengan RM1,200, sekiranya majikan mahu bayar RM1,500 maka bolehlah,” katanya pada sidang media hari ini.

Saravanan berkata, kos maksimum pengambilan pembantu rumah Indonesia dijangka akan berkurangan lebih rendah berbanding RM15,000 yang dilaporkan sebelum ini susulan tiada lagi kos tambahan membabitkan proses kuarantin.

Beliau berkata, kos dari Malaysia bagi membawa pembantu rumah sebelum ini dianggarkan lebih RM9,000 antaranya membabitkan pembayaran levi, kuarantin dan insurans, manakala kos dari Indonesia adalah kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 lebih.

Katanya, namun berikutan ketiadaan syarat bagi kuarantin lagi, kos dari negara ini dijangka berkurangan kepada kira-kira RM6,000.

Loading...
Terkini