Oleh: Fahiz Ariff
KUALA LUMPUR: Gaji permulaan sekurang-kurangnya RM3,000 untuk graduan Program Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) dilihat perlu dilaksanakan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong berkata, langkah ini signifikan bagi mengelakkan tenaga mahir berhijrah ke luar negara.
“Memang keadaan negara kita sekarang dalam keadaan tidak memuaskan kerana gaji purata ialah RM2,250 pada 2021.”
“Ini tidak boleh diterima, kerana anak muda tidak terima gaji begitu rendah dan ini keadaan yang kita terpaksa hadapi sebagai satu negara”
“Cadangan TPM baik dan harus dilaksanakan supaya gaji graduan TVET lebih tinggi dan akhirnya gaji jurutera lebih tinggi. Kalau tidak jurutera kita akan berhijrah ke negara lain kalau gaji terlalu rendah dan ini masalah kita perlu selesaikan”.
Jelas beliau ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amiruddin Shari berhubung perancangan kementerian itu dalam meneroka industri baharu bagi tujuan pendidikan TVET.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan pemain industri di negara ini menawarkan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM3,000 kepada graduan TVET.
Akui beliau, gaji minimum itu munasabah memandangkan graduan TVET adalah pekerja mahir yang telah menjalani kursus kemahiran.