comscore
Tumpuan :
Nasional

Gaji minimum RM1,700: Tambang pengangkutan awam tidak naik – Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan memberi jaminan tambang pengangkutan awam tidak akan dinaikkan biarpun berlaku peningkatan dalam kadar gaji minimum menjelang Februari depan.

Menterinya, Anthony Loke, berkata ia berikutan kadar upah semasa bagi kakitangan di sektor itu sudah melangkaui penetapan kadar gaji minimum RM1,700 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Ahli Parlimen Seremban itu juga berkata sebarang permohonan peningkatan kadar tambang perkhidmatan terbabit perlu mendapat kelulusan kerajaan, sebelum sebarang penetapan baharu boleh diperkenal kepada umum.

“Rata-ratanya gaji di sektor penerbangan sudah melebihi RM1,700. Saya rasa ini tidak akan ada kesan besar sebab sektor ini banyak membabitkan kerja teknikal yang memerlukan tenaga mahir dan terlatih.

“Di sektor pengangkutan awam lain, saya rasa kadar upah pemandu pun sudah melebihi RM1,700. Tambahan kadar tambang bas dikawal oleh kerajaan dan tidak boleh dinaikkan sesuka hati.

“Rata-rata upah pemandu hingga RM3,000 dan ke atas sebulan, jadi ia (penetapan gaji minimum baharu) tidak memberi kesan besar kepada sektor ini. Malah, syarikat juga sukar mencari pemandu jika mereka menawarkan gaji RM1,700,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan, berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang memiliki kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini