Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Gaji minimum pada kadar RM1,700 sebulan yang berkuatkuasa esok (1 Februari 2025) akan memanfaatkan 4.37 juta pekerja.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan, Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa di seluruh negara itu ditetapkan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.
Ia termasuk majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan tersebut.
“Manakala, bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuatkuasa akan bermula pada 1 Ogos 2025.
“Hal ini bagi memastikan majikan diberi tempoh yang mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing,” Menurut kenyataan itu.
Langkah yang bakal memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.
“Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk ‘Menaikkan Lantai’ ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat menambah baik kualiti hidup rakyat. KESUMA menegaskan bahawa semua majikan diwajibkan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum ini dan memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.
“Kegagalan majikan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum ini merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732),” Maklumnya.
Kementerian itu mengingatkan bahawa gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras gaji permulaan kepada semua pekerja khususnya siswazah dan para pekerja perlu diberi gaji setimpal berdasarkan kemahiran.
Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum ini merupakan salah satu pendekatan besar KESUMA dalam meningkatkan pendapatan selain pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dan usaha merancakkan latihan kemahiran sebagai kaedah meningkatkan keberhasilan dan gaji pekerja.
Untuk rekod, gaji minimum sebelum ini ditetapkan pada RM1,500 sebulan pada Mei 2022 berbanding RM1,200 sebelum itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.