Tumpuan :
Nasional

Gaji minimum di Malaysia perlu ditetapkan pada RM2,287 sebulan – UNICEF

Laporan ‘The Living on the Edge Key Findings’ menunjukkan kenaikan kos sara hidup telah menambah tekanan kepada keluarga bandar yang berpendapatan rendah pasca pandemik – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dicadangkan untuk menetapkan kadar gaji minimum pada RM2,287 sebulan, berbanding RM1,500 ketika ini.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam laporan ‘The Living on the Edge Key Findings’ mendedahkan, penetapan kadar gaji yang lebih adil itu adalah dengan mengambil kira faktor utama seperti kos sara hidup, pendapatan garis kemiskinan dan produktiviti.

“Pengiraan menunjukkan bahawa gaji minimum perlu ditetapkan pada RM2,287 sebulan, bukannya RM1,500 sebulan pada masa ini. Gaji sara hidup semasa seperti yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ialah RM2,700,” katanya.

UNICEF dalam penemuan kajiannya turut mendapati cadangan dasar yang boleh dipertimbangkan kerajaan turut membabitkan elaun penjagaan kanak-kanak sejagat sebanyak RM200 sebulan untuk semua ibu mengandung sehingga kanak-kanak berusia dua tahun.

Katanya, penyaluran sokongan kewangan itu akan menjadi langkah pertama dalam pengembangan progresif lantai perlindungan sosial untuk kanak-kanak di Malaysia.

“UNICEF juga mencadangkan elaun sejagat untuk orang kurang upaya. di mana ia penting untuk menyediakan tahap keselamatan pendapatan yang mencukupi dan melengkapkan penjagaan kesihatan serta perlindungan pekerjaan sedia ada.

“Pada masa yang sama, elaun perlu dilanjutkan kepada penjaga utama (yang kebanyakannya wanita) ahli keluarga kurang upaya,” katanya.

Sementara itu, kerajaan juga disarankan menambah baik bantuan sosial termasuk membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ini kerana, wujud keperluan untuk JKM menyalurkan bantuan kepada mereka yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan, atau mereka yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM2,589 (RM681 perkapita).

“Pada masa ini, bantuan hanya diberikan kepada isi rumah dengan RM1,198 sebulan (RM315 perkapita),” menurut laporan itu.

Selain itu, perlindungan sosial yang lebih baik juga menjadi antara cadangan UNICEF, di mana semua pekerja tanpa mengira status pekerjaan yang akan dilindungi oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Ia adalah untuk melindungi mereka daripada kecederaan, pengangguran dan pendapatan yang tidak mencukupi atau tiadapendapatan ketika usia tua,” katanya.

Secara keseluruhan, laporan ‘The Living on the Edge Key Findings’ menunjukkan kenaikan kos sara hidup telah menambah tekanan kepada keluarga bandar yang berpendapatan rendah pasca pandemik.

“Dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang dikaji, isi rumah ketua wanita dan mereka yang diketuai oleh orang kurang upaya menghadapi cabaran yang lebih besar dan berada dalam situasi yang lebih buruk,” katanya.

Laporan itu memberi tumpuan kepada tinjauan pasca pandemik yang dijalankan dari 14 Oktober 2023 hingga 16 November 2023, membabitkan pengumpulan data daripada sejumlah 755 isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal di 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.

Sampel terdiri daripada 501 isi rumah dengan kira-kira 30 peratus mewakili responden yang pernah ditemu bual di bawah projek Keluarga di Pinggiran (FOE), dengan sampel penggalak sebanyak 254 isi rumah terdiri daripada isi rumah yang diketuai oleh wanita.

Sementara itu, penemuan utama laporan UNICEF itu menunjukkan walaupun keluarga telah pulih dari segi pekerjaan dan pendapatan, kemiskinan mutlak berada pada 41 peratus daripada keseluruhan kemiskinan dan 17 peratus lagi adalah kemiskinan tegar.

Ia terutamanya dalam kalangan isi rumah yang diketuai wanita dan isi rumah yang diketuai oleh orang kurang upaya.

“Peningkatan kos sara hidup telah memburukkan lagi kesukaran, dengan lapan daripada 10 keluarga bergelut untuk memenuhi keperluan asas, mengakibatkan mereka terpaksa membuat pilihan seperti mengurangkan pengambilan makanan.

“Kesan ke atas kesihatan mental adalah ketara, dengan satu daripada empat mengalami kemurungan, yang mana lebih tinggi daripada semasa wabak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini