comscore
Tumpuan :
Nasional

Gaji minimum, BKK bukti kerajaan komited tingkat pendapatan boleh guna penjawat awam

KUALA LUMPUR: Pengumuman kadar gaji minimum RM2,115 sebulan kepada penjawat awam di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), selain Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM500 membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan pendapatan boleh guna penjawat awam ditingkatkan selaras dengan peningkatan kos sara hidup.

Justeru, Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat, meminta semua penjawat awam memberikan komitmen penuh dalam memastikan iltizam kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan, terutama membabitkan kerjasama dan koordinasi antara jabatan kerajaan.

“Pemberian BKK kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak yang akan disalurkan pada Februari 2025 tentunya memberikan kelegaan kepada penjawat awam, terutama dalam menghadapi pembukaan sesi persekolahan dan sambutan Ramadan serta Aidilfitri pada tahun depan yang sangat rapat, iaitu pada Februari dan Mac.

“Secara tradisinya, kerajaan memperuntukkan BKK setiap tahun sejak 2013 sebagai tanda terima kasih atas kesungguhan yang tidak berbelah bahagi penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan pemberian ini amat dihargai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, hari ini, Perdana Menteri mengumumkan kadar gaji minimum untuk semua penjawat awam ditetapkan pada paras RM2,115 sebulan, selain BKK berjumlah RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.

Adnan berkata, iltizam kerajaan mahu menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat adalah selaras dengan inisiatif pengenalan SSPA yang diperkenalkan kerajaan bagi memperbaharui dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini