Tumpuan :
Nasional

Gajah mati dilanggar kereta

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengesahkan kejadian seekor gajah mati selepas terbabit kemalangan jalan raya bersama beberapa kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, malam tadi. Foto tular / Ihsan pembaca

GERIK: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengesahkan kejadian seekor gajah mati selepas terbabit kemalangan jalan raya bersama beberapa kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, malam tadi.

Mengesahkan perkara itu, Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff, berkata pihaknya pada mula mendengar pelbagai versi mengenai lokasi sebenar kejadian namun akhirnya ia disahkan berlaku berhampiran dengan persimpangan menuju ke perkampungan Air Banun, Gerik dari laluan JRTB.

Katanya, kejadian itu menyebabkan seekor gajah betina dewasa dianggarkan berusia 20 tahun maut.

Foto tular / Ihsan pembaca

“Lokasi sebenar kejadian masih bermacam-macam versi (namun disahkan) ia berlaku berhampiran simpang Air Banun.

“Gajah itu adalah gajah betina dewasa anggaran usia 20 tahun,” katanya dihubungi malam tadi.

Ditanya sama ada karkas bangkai gajah yang mati berkenaan akan dihantar ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan( PKGK ) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang atau ditanam sekitar lokasi kejadian, Yusoff sekadar menyatakan karkas itu akan ditanam sahaja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood ketika dihubungi juga malam tadi berkata, pihaknya sedang menyediakan maklumat lengkap berhubung insiden kemalangan itu yang akan dikongsikan kemudian.

Terdahulu, tular di media sosial berkaitan kemalangan membabitkan kenderaan yang mengakibatkan kematian gajah berkenaan dengan bangkainya dilihat terdampar di bahu jalan raya.

Menerusi beberapa klip video tular, kemalangan itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa manusia namun mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kenderaan rosak dipercayai akibat rempuhan selain terdapat serpihan kenderaan berterabur atas jalan raya.

Sementara itu, difahamkan gajah betina itu dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail yang dalam perjalanan dari arah Kelantan menghala ke Gerik di Kilometer 50, JRTB Gerik-Jeli.

Dikatakan sewaktu sampai di lokasi kejadian, gajah berkenaan melintas secara tiba-tiba di laluan selepas selekoh menyebabkan kenderaan itu gagal mengelak lalu melanggar haiwan liar terbabit.

Pemandu dan penumpang SUV berkenaan tidak cedera.

Media sebelum ini melaporkan PERHILITAN mengesahkan kejadian seorang lelaki parah akibat dipijak gajah di Batu 11, berdekatan Tugu Peringatan, JRTB Gerik-Jeli, di sini, pada Khamis lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini