comscore
Tumpuan :
Nasional

Gajah liar musnahkan tanaman penduduk ditangkap

GUA MUSANG: Seekor gajah liar jantan yang dipercayai memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Subong, di sini, sejak hujung bulan lalu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), semalam.

Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung tentang kemunculan gajah liar terbabit pada 25 Februari lalu.

“Tangkapan gajah liar ini sedikit sebanyak melegakan penduduk di kampung itu, selain dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami penduduk akibat kemusnahan tanaman dan harta benda akibat konflik gajah liar berkenaan,” katanya.

Menurut Mohamad Hafid, operasi membabitkan anggota Jabatan PERHILITAN Daerah Gua Musang dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan.

Tambah Mohamad Hafid, gajah itu akan dipindahkan ke habitat yang lebih sesuai dan akan dilakukan dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Beliau turut menjelaskan operasi tangkap dan pindah gajah bukanlah penyelesaian jangka panjang bagi konflik gajah liar dan manusia memandangkan kawasan kebun berkenaan adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri dan Sungai Terah.

Katanya dianggarkan terdapat lebih daripada 30 ekor gajah liar berada di kedua-dua HSK terbabit.

Sebaliknya penduduk khususnya pekebun dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah mitigasi seperti memasang lampu LED biru di laluan yang dikenalpasti sebagai laluan masuk gajah liar ke kebun.

Selain itu, pekebun juga diingatkan supaya sentiasa membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak samun serta membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun.

“Pekebun juga perlu mengambil langkah yang lebih efektif seperti pembinaan parit gajah,” katanya.

Tambah beliau lagi orang ramai juga disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan haiwan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh membahayakan keselamatan.

28 Februari lalu, Perhilitan Kelantan melaporkan menangkap seekor lagi gajah liar jantan di Kampung Laloh, Kuala Krai.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini