comscore
Tumpuan :
Nasional

Gajah liar masih mengganas di Kelantan, tanaman petani RPT KESEDAR Sungai Terah pula musnah

Mohamed Noor (dua kiri) menunjukan tanaman yang dimusnahkan gajah liar di kebunnya di RPT Kesedar Sungai Terah, di sini. – Foto NSTP

GUA MUSANG: Kira-kira 300 pekebun kecil Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) KESEDAR Sungai Terah, di sini, mengalami kerugian ribuan ringgit selepas tanaman yang mereka usahakan musnah diserang sekumpulan gajah liar sejak Khamis lalu.

Menurut pekebun, tiga ekor gajah yang berkeliaran dipercayai merosakkan tanaman mereka berdasarkan kesan tapak kaki yang dijumpai.

Pemilik kebun, Mohamed Noor Awang Hamat, 70, mendakwa 200 pokok tanaman yang terdiri daripada pokok pisang dan ubi kayu itu sudah membuahkan hasil musnah kerana gajah liar terbabit.

Katanya, dalam kejadian terbaharu yang berlaku malam kelmarin, empat guni garam yang dijadikan baja pokok turut dirosakkan gajah liar terbabit.

“Saya sudah mengusahakan kebun ini sejak tiga tahun lalu dan semua pokok yang dirosakkan gajah liar terbabit sudah boleh dijual kepada pembeli.

“Dianggarkan sebanyak 200 pokok terdiri daripada pokok pisang dan ubi kayu musnah dan kerugian yang saya dihadapi kira-kira RM5,000 hanya dalam satu malam,” katanya ketika ditemui di kebunnya, di sini.

Bagi Wan Ab Talib Wan Jusoh, 69, kejadian yang berlaku bermula pada Khamis malam itu menyebabkan penduduk mengalami kerugian kerana pokok yang ditanam sudah membuahkan hasil.

“Di sini terdapat kira-kira 300 pekebun yang menanam pokok pisang dan ubi kayu serta sawit yang menjadi punca pendapatan bagi menyara keluarga.

“Apabila berlaku kejadian seperti ini, kami berasa agak sedih melihat tanaman yang sudah membuahkan hasil rosak kerana gangguan gajah liar.

“Tambahan pula menjual hasil tanaman seperti pisang dan ubi kayu ini adalah sumber pendapatan kami. Harapan untuk menjual hasil tanaman tidak kesampaian apabila berlaku kejadian seperti ini,” katanya.

Bagi Mohamad Hanifa Mohd Zain, 31, pula berkata pekebun sudah membuat laporan kepada pihak Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan pihak berkenaan sudah datang untuk membuat pemantauan.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini