Tumpuan :
Nasional

Gajah liar berkeliaran di kampung dipindah ke habitat selamat

Foto:PERHILITAN Kelantan

JELI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan kelmarin memindahkan seekor gajah liar yang berkeliaran di Kampung Lalat, Batu Melintang.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani, berkata gajah jantan yang dilapor merosakkan tanaman itu ditangkap Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan pada Sabtu minggu lalu, sehari selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung.

Beliau berkata, operasi pemindahan serta pelepasan semula gajah liar itu ke habitat lebih sesuai dan selamat, dijalankan oleh anggota dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Lanchang, Pahang, dengan dibantu pihak Jabatan PERHILITAN Kelantan.

“Penangkapan gajah liar itu dapat mengurangkan kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan, selain mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman dan harta benda.

“Bagaimanapun, penangkapan serta pemindahan gajah liar yang mengganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang disebabkan kedudukan kampung itu yang terletak berhampiran kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Hafid berkata, pihaknya menganggarkan populasi gajah liar di HSK terbabit mencecah lebih 50 ekor.

“Justeru, orang ramai disarankan lebih berhati-hati serta berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar, dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya terhadap keselamatan diri.

“Selain itu, sentiasa berteman ketika ke kebun dan tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam; bersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak samun; serta memasang lampu di sekeliling rumah pada waktu malam.

“Pada masa sama, pasang lampu LED biru di laluan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk gajah liar, dan bina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini