KUALA LUMPUR: Isu pencerobohan gajah liar di kawasan perumahan dan pertanian menarik perhatian Dewan Rakyat hari ini.
Beberapa wakil rakyat, termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor, mencelah penggulungan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, bagi menyatakan kebimbangan berhubung isu gajah liar.
Antara isu yang dibangkitkan termasuklah mengenai peningkatan kes kerosakan tanaman, selain ada kes gajah liar yang mula menceroboh kawasan perumahan dan bandar serta masuk ke rumah penduduk untuk mencari makanan.
Ramli yang mempengerusikan persidangan itu menjadi wakil rakyat pertama yang mencelah mengenai isu berkenaan dengan bertanyakan sama ada kementerian dapat memberi pampasan ganti rugi kepada penduduk khususnya Orang Asli yang berdepan kerosakan harta benda dan tanaman akibat pencerobohan gajah liar.
Ia disusuli celahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang memaklumkan pencerobohan itu baru berlaku tiga hari lalu di kawasannya, dan meminta peruntukan yang lebih baik diberikan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Menjawab dua persoalan itu, Nik Nazmi memaklumkan kementerian sudah mewujudkan tabung bantuan untuk mangsa yang mengalami kecederaan atau kematian akibat konflik antara manusia dan haiwan liar.
Bagi bayaran ganti rugi untuk kerosakan tanaman dan harta benda, beliau memaklumkan kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) untuk menyediakan peruntukan bagi pembayaran sagu hati kepada mangsa.
Penggulungan beliau kemudian dicelah Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang memaklumkan isu pencerobohan gajah liar bukan saja berlaku di kawasan kampung, namun kini sudah mula dikesan di bandar, termasuk kawasannya.
“Amat dekat dengan rumah saya, 10 minit saja gajah itu boleh ceroboh masuk ke pusat bandar. Gajah liar juga sudah masuk ke rumah untuk cari makanan. Ini sudah jadi beberapa kali. Bukan kampung ya, taman perumahan… cari makanan di dapur,” katanya.
Kebimbangan sama turut dikongsi Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang memaklumkan gajah liar kini sudah mula ‘menyentuh’ rumah penduduk, dan tidak sekadar merosakkan tanaman pertanian seperti sebelum ini.
“Gajah yang masuk ke kawasan kampung bukan saja ancaman tanaman sawit dan hasil pertanian, tapi dah main gesek-gesek badan di rumah masyarakat,” katanya, yang bertanya mengenai pemasangan pagar elektrik bagi menghalang insiden itu berterusan.
Nik Nazmi kemudian memaklumkan isu konflik antara manusia dan hidupan liar adalah rumit untuk diselesaikan, kerana punca utama isu itu adalah gajah dan haiwan liar lain kehilangan habitat asal yang sudah dibangunkan.
“Gajah juga adalah antara binatang yang paling cerdik. Misalnya, mereka juga tahu sekiranya pintu (pagar) terbuka dan mereka boleh lepas. Jadi itu antara cabaran, mungkin tak sama dengan binatang lain.
“Pokoknya, kita tahu habitat mereka telah dibangunkan. Itu isu asas… tiada penyelesaian mudah,” katanya.
Terdahulu, Nik Nazmi memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan projek penyambungan kawasan hutan yang terpisah menerusi inisiatif Central Forest Spine (CFS) bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar.
Katanya, konflik itu antara lain berlaku disebabkan fragmentasi hutan, selain laluan semula jadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain terhalang dengan projek pembangunan.
“Kerajaan komited meneruskan inisiatif CFS yang membabitkan lapan negeri, 12 kementerian, 11 agensi persekutuan, 96 agensi negeri, 18 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun, serta 26 badan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO),” katanya.