comscore
Tumpuan :
Nasional

Gagal urus sisa buangan, kilang sembelih dan proses ayam diarah tutup

Oleh : Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Majlis Pembandaran Selayang (MPS) mengarahkan penutupan serta-merta sebuah kilang penyembelihan dan memproses ayam kerana gagal menguruskan sisa ayam dengan baik.

MPS dalam satu kenyataan menjelaskan tindakan oleh pemilik kilang di Taman Selayang Utama, Selayang itu telah menyebabkan longkang di kawasan persekitaran kotor, tersumbat dan berbau busuk.

Pemilik turut didapati membuang sisa ayam seperti bulu ayam, bahagian dalaman ayam dan juga darah ayam masuk ke saliran Indah Water Konsortium (IWK) sehingga menyebabkan longkang tersumbat.

“Tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan & Establisymen Makanan 2007 iaitu penutupan serta-merta selama 14 hari atau sehingga premis dibersihkan secara menyeluruh kepada pemilik premis telah dikenakan susulan daripada siasatan oleh Unit Kawalan Mutu Makanan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS serta aduan daripada portal SISPAA-MPS,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah MPS, pemilik premis juga dikenakan tindakan kompaun di bawah Sek 19(1)d UUK E. Makanan MPS 2007 berjumlah RM500 iaitu pelepasan effluen seperti darah dan bulu ayam terus ke dalam longkang.

MPS menegaskan pemantauan secara serius dilaksanakan untuk memastikan pemilik premis perniagaan mengikut spesifikasi, mematuhi garis panduan dan arahan yang telah ditetapkan atau tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang berkenaan.

Loading...
Terkini