comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Gagal tukar lorong dipercayai punca nahas maut 3 warga emas

SEGAMAT: Kegagalan menukar lorong dipercayai punca nahas di Kilometer 167 Jalan Johor Bahru-Seremban dekat sini, yang meragut nyawa tiga wanita warga emas.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan pada jam 5.40 petang Khamis itu membabitkan Perodua Alza, Honda Jazz dan Toyota Hilux.

Katanya, ia dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan dari arah Johor Bahru gagal memasuki lorong kiri selepas menukar laluan dari kanan jalan.

“Pacuan empat roda itu dilanggar Honda Jazz dari arah belakang sebelah kiri yang menyebabkan ia hilang kawalan dan bertembung Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan.

“Pertembungan menyebabkan Perodua Alza terbabas dan tiga penumpang belakangnya yang berusia 89, 66, dan 62 tahun parah sebelum meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Manakala, 11 individu lagi terselamat dalam kemalangan itu.

“Pemandu kenderaan itu yang berusia 30 tahun dan enam penumpang berusia setahun hingga 38 tahun cedera dan dirawat di Hospital Daerah Segamat (HDS),” katanya.

Menurutnya, pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux juga dirujuk ke HDS, manakala pemandu serta penumpang Honda Jazz tidak cedera.

​​​​​​​Siasatan kes mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini