PONTIAN: Peniaga tidak meletak atau mempamerkan tanda harga adalah antara kesalahan yang mendapat aduan tertinggi pengguna seluruh negara, menjelang musim perayaan ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata penguat kuasa kementerian sudah diarahkan supaya memantau semua lokasi perniagaan dan memberi nasihat jika peniaga atau peruncit masih cuai dalam meletak atau mempamer tanda harga.
Katanya, KPDN sebolehnya tidak mahu mengambil pendekatan mengeluarkan kompaun berikutan Aidilfitri semakin hampir.
“Bagaimanapun, KPDN terpaksa bertindak tegas jika peniaga atau peruncit terus melakukan kesalahan sama secara berulang.
“KPDN menerima ratusan aduan pengguna berhubung perniaga yang tidak meletak atau mempamerkan tanda harga barang dagangan dan jualan masing-masing.
“Saya sendiri beberapa kali pernah menegur peniaga dan peruncit dalam tinjauan mengejut dilakukan supaya meletakkan tanda harga.
“Kita sebolehnya tidak mahu terus mengeluarkan kompaun, namun jika kesalahan sebegini terus dilakukan secara berulang, maka KPDN tiada pilihan lain dan terpaksa bertindak tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pasaraya Econsave Pontian, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Terdahulu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai melancarkan Jualan Rahmah Daging Import Econsave.
Menerusi Jualan Rahmah itu, sebanyak 90 cawangan Econsave di seluruh negara menawarkan 500 tan daging kerbau import pada harga RM14.90 sekilogram (kg), berbanding harga siling RM20 setiap kg yang ditetapkan KPDN.
Dalam pada itu, Salahuddin mengakui terdapat beberapa lokasi dikenal pasti menjual harga ayam segar melebihi harga siling ditetapkan.
Katanya, menerusi pemeriksaan dilakukan kementerian, perkara itu disebabkan penjual ayam menerima bekalan ayam daripada dua hingga tiga lapisan pemborong.
“Ia menyebabkan peniaga ayam segar umpamanya terpaksa meletak caj memotong sehingga harga sekilogram ayam melebihi harga siling, berikutan harga ayam segar yang diterima lebih mahal berbanding kawasan lain.
“Saya sudah memeriksa perkara ini kepada unit undang-undang KPDN, jika peniaga meletakkan tanda harga dan notis caj pemotongan secara jelas dan ia dipersetujui pengguna, maka ia bukan satu kesalahan.
“Bagaimanapun, isu ini hanya berlaku di sesetengah lokasi dan bukan di banyak kawasan,” katanya.