JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat kontraktor pembinaan dan penyelenggaraan didenda RM23,000 dan penalti khas RM1.284 juta selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bagi tiga tahun berturut-turut.
Orang Kena Saman (OKS), Yusof Ahmad, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohammad Farid.
Mengikut kertas pertuduhan, Yusof sebagai pengarah yang bertanggungan di bawah Seksyen 75 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi syarikat EMF Energy Sdn Bhd, dikehendaki mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang C bagi Tahun Taksiran 2019 dan Borang C bagi Tahun Taksiran 2020 mengenai pendapatan syarikat.
Bagaimanapun, OKS tiada sebab yang munasabah, telah gagal mengemukakan penyata-penyata terbabit yang mempunyai pendapatan bercukai sebagaimana ditentukan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri mengikut pertimbangan terbaiknya.
Pendapatan bercukai pada tahun 2019 dan 2020 masing-masing sebanyak RM1.22 juta yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM293,126.40, dan sebanyak RM562,364 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM134,967.36.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Bagi kertas pertuduhan kedua, Yusof didakwa gagal mengemukakan suatu penyata pendapatan dalam Borang C bagi Tahun Taksiran 2021 mengenai pendapatan syarikat sama.
Pendakwaan bagi pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN, Mazlan Alias manakala OKS tidak diwakili peguam.
Yusof dalam rayuan memohon mahkamah agar meringankan denda dan pembayaran penalti khas dibuat secara ansuran.
Mazlan dalam penghujahannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana OKS adalah pesalah cukai tegar apabila syarikat sama gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan iaitu borang C bagi tahun taksiran 2019 dan 2020.
Syarikat itu juga hujah Mazlan, pernah dikompaun bagi kesalahan gagal mengemukakan borang C bagi tahun taksiran 2003, 2009, 2015, 2016, 2017 dan 2018.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM15,000 bagi pertuduhan pertama dan penalti khas sebanyak RM1.284 juta (RM1,284,281) dibayar secara ansuran selama 12 bulan bermula hari ini.
Bagi pertuduhan kedua, OKS didenda RM8,000.