Tumpuan :
Nasional

Gagal isytihar muatan, bot kargo bawa 170 kotak lobak merah ditahan

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Bot kargo tempatan membawa muatan 170 kotak lobak merah dianggarkan 1,190 kilogram tanpa pengisytiharan ditahan dekat sempadan perairan Malaysia-Indonesia, di sini, semalam.

Bot kargo berkenaan ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi OP Pluto Timur dan Op Tiris pada 11.10 pagi.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya mengesan sebuah bot kargo bergerak laju keluar dari perairan Batu 3 menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

Beliau berkata bot ronda APMM bertindak menahan bot kargo berkenaan untuk pemeriksaan ke atas barang yang dibawa.

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.8 batu nautika utara Sungai Melayu tersebut mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun bertindak selaku juragan bot.

“Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan telah gagal mengemukakan dokumen pengisytiharaan kastam berkaitan barangan yang dibawa dan tiada daftar nama di dalam lesen bot,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, juragan, bot serta muatan dianggarkan bernilai RM3,400 itu seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM46,000.

Tambah Shahrizan lagi pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlakunya cubaan penyeludupan barangan tersebut ke negara jiran bagi pasaran luar.

APMM tegasnya memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini