KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan sekatan perjalanan ke atas 12,846 pengarah syarikat dan 179,719 individu kerana tunggakan cukai setakat 31 Disember lalu.
LHDN berkata, menjelang cuti persekolahan sesi 2023/2024, pastinya pelbagai perancangan percutian direncanakan, namun mengingatkan kepada pembayar cukai supaya menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan terlebih dulu supaya percutian ke luar negara tidak tergendala.
“Untuk makluman, tindakan sekatan perjalanan mengikut Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP 1967) dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (AKCHT 1976) adalah antara tindakan yang diambil oleh LHDN ke atas mana-mana individu yang tidak menjelaskan tunggakan cukai.
“Sehingga 31 Disember 2023, bilangan kes sekatan perjalanan membabitkan pengarah syarikat adalah sebanyak 12,846 kes manakala individu 179,719 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut LHDN, bagi menyemak status semasa percukaian, pembayar cukai boleh melayari portal MyTax yang boleh dicapai melalui pautan https://mytax.hasil.gov.my/ dan juga semakan status sekatan perjalanan di laman web Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.
“Sekiranya pembayar cukai mempunyai rekod tunggakan cukai serta dikenakan tindakan sekatan perjalanan, mereka adalah dimohon untuk membuat bayaran atau menghubungi pejabat LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka untuk tujuan rundingan bayaran ansuran bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke luar negara.
“Melalui pendekatan Awareness, Education, Services (AES) dalam pelaksanaan operasi percukaian, kita sentiasa terbuka dan komited untuk menjadi pemudahcara kepada pembayar cukai,” katanya.
Oleh itu, katanya, pembayar cukai adalah dinasihatkan untuk tampil ke pejabat LHDN bagi berbincang dan berunding dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik sekiranya berhadapan dengan sesuatu kesalahan atau kesulitan.