Tumpuan :
Nasional

Gaduh di Stesen LRT: 2 lelaki ditahan, suspek lain masih diburu

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan insiden pergaduhan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek lelaki berusia 22 dan 24 tahun itu masing-masing ditahan di kediaman mereka di Ampang dan Cheras, ibu negara.

Bercakap kepada Buletin TV3, hari ini, Datuk Rusdi berkata, kedua-dua suspek kini direman bermula hari ini sehingga esok untuk siasatan lanjut.

“Positif, mereka ini terlibat dan ada lagi beberapa footage yang cuba kita kesan, insya allah dalam petang ini akan ada beberapa tangkapan. Jadi ini adalah kumpulan tempatan, lokal,” katanya kepada Buletin TV3.

Datuk rusdi berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan menyeru orang ramai untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan.

“Saya menyeru kepada orang ramai jangan menimbulkan provokasi, ejek-mengejek itu semua akan menimbulkan masalah,” tegasnya

Sebelum ini tular di media sosial, video insiden pergaduhan melibatkan kumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan.

Video itu memaparkan dua kumpulan penyokong dianggarkan antara 20 hingga 30 orang bertindak agresif dan bertumbuk serta membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini