PETALING JAYA: Berpegang kepada pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’, empat gadis pengimpal membuktikan wanita juga mampu ceburi bidang yang lazimnya didominasi kaum lelaki.
Bidang kimpalan yang sering dikaitkan dengan istilah 3D – dirty, dangerous and difficult, kini disertai gadis-gadis muda yang berani mengambil risiko tinggi demi ganjaran yang lumayan.
Nurmira Allya Hamiza, 21, merupakan wanita terawal menceburi dunia kimpalan berkata meskipun pada awalnya merasa sukar dan hampir berputus asa, dia mendapat semangat daripada rakan sekerja yang lebih berpengalaman.
“Apa yang membuatkan saya tertarik dengan jurukimpal ni sebab ia mencabar, lagipun majoriti pekerjaan ini lelaki, jadi saya rasa peluang untuk mendapat kerja lebih mudah kerana tidak ramai perempuan dalam bidang ini,” katanya.
Seorang lagi gadis besi, Nurul Izzah Ahmad Daud, 23, dari Batu Kawan, Pulau Pinang berkata minatnya yang mendalam wujud sejak zaman kanak-kanak dan ingin meneruskan legasi ayahnya.
“Bagi Izzah, yang membuatkan Izzah tertarik dengan kimpalan ni sebab majoritinya lelaki. Jadi saya terfikir, bolehkah perempuan buat kerja macam ini?.
“Jadi Izzah ingin mewakili wanita di luar sana dan buktikan yang perempuan juga boleh buat kerja sama seperti lelaki,” ujar Izzah.
Walaupun tugas memerlukan mereka bekerja selama 8 jam sehari dalam hangar di limbungan, minat yang mendalam terhadap kerjaya itu membuatkan masa berlalu tanpa disedari.
Kerjaya dalam bidang kimpalan itu turut menarik perhatian dua lagi wanita iaitu Nur Adifa Farain Razali dan Nur Ikhmal Diniah Norsuadi.
Kehadiran mereka bukan sekadar penyeri dalam dunia pembinaan kapal, tetapi ia suatu bukti kehadiran ruang dan peluang untuk semua sesiapa sahaja yang mempunyai minat, kemahuan dan kemahiran dalam menentukan masa depan masing-masing.
Legasi tukang kulit
Fenomena muzik rock di era 80 dan 90-an bukan sahaja menghidupkan minat terhadap genre tersebut, malah memberi inspirasi kepada seorang anak muda untuk menceburi bidang pembuatan barangan kulit.
Siapa sangka, minat Kherul Kamal Mohd. Rubi dalam menghasilkan barangan kulit yang pada mulanya hanya sekadar minat, kini telah berkembang menjadi sumber pendapatan tetapnya.
Kamal memulakan perniagaan barangan kulit ini 30 tahun lalu setelah terinspirasi oleh trend fesyen kulit yang popular ketika itu.
“Pada tahun 80-an dan 90-an, trend barangan kulit sangat popular terutamanya di Pertama Kompleks. Memang orang cukup menggilai, saya salah seorang yang minat dan dari situ tercetus idea untuk membuka perniagaan barangan kulit ini,” katanya.
Walaupun tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang itu, Kamal mempelajari kemahiran membuat barangan kulit secara sendiri dengan mengkaji produk-produk sedia ada.
Kamal, yang memulakan perniagaan pada tahun 1994, telah menghasilkan ratusan rekaan dan variasi produk kulit buatan tangan.
Setiap reka bentuk tidak hanya terhad kepada ideanya sendiri, malah pelanggan turut diberi kebebasan untuk mengolah tempahan mengikut citarasa masing-masing.
Ikuti dua kisah ini dalam episod ‘Legasi Tukang Kulit’ dan ‘Gadis Kimpalan Penakluk Bahtera’ dalam Majalah 3 jam 9.00 malam ini di TV3.
Bagi yang terlepas boleh langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh di Tonton, dan WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.