Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Gadis 14 tahun temui ajal selepas pulang mengaji al-Quran


Oleh: Fazli Ahmad

KUALA LIPIS: Seorang gadis berusia 14 tahun maut, manakala rakannya parah setelah motosikal yang dinaiki, dirempuh lori di Kampung Gua, dekat sini, petang semalam.

Nahas berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke Padang Tengku selepas selesai kelas mengaji al-Quran.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, nahas berlaku di simpang tiga Kampung Gua di Kilometer 20, Jalan Lipis – Merapoh, dekat sini kira-kira jam 5:50 petang semalam.

Siasatan polis mendapati nahas berlaku apabila sebuah motosikal dinaiki kedua-dua mangsa tidak berhenti di simpang jalan tanpa memberi laluan kepada kenderaan di jalan utama dan dirempuh sebuah lori dalam perjalanan dari arah Merapoh ke Kuala Lipis.

“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal berusia 14 tahun meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Ismail berkata, pemandu lori berusia 58 tahun tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat, sementara rakannya yang parah turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini