Tumpuan :
Nasional

Gabungan PH-BN buktikan kematangan politik negara – Penganalisis politik

Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub

Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilhan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini membuktikan Malaysia kini menuju ke arah kematangan politik.

Menurut Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub tidak seperti sebelum ini, perbezaan politik yang keterlaluan mengakibatkan setiap pihak sukar menerima perbezaan pandangan.

Namun, kematangan politik pada masa kini menjadikan setiap individu itu lebih matang dan cuba mencari persamaan serta meraikan kepelbagaian.

“Kalau sebelum ini kita terlalu ekstrem dengan parti masing-masing sehingga sukar untuk menerima pandangan perbezaan ataupun kita tolak ketepi perkara-perkara yang begitu baik untuk negara semata mata akibat perbezaan politik.

“Saya lihat apabila berlakunya satu dinamika politik yang memungkinkan kita untuk menjadi seorang yang lebih matang. Maka saya fikir sudah tiba masanya untuk kita mencari persamaan, sudah tiba masanya untuk kita meraikan kepelbagaian, perbezaan, dan jadikan pilihan raya ini sebagai satu pesta demokrasi,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan bual bicara pagi, Malaysia Hari Ini, (MHI).

Menyentuh cubaan gabungan PH-BN merampas kerusi negeri yang kini majoriti disandang oleh gabungan Perikatan Nasional (PN) – PAS, Dr Tawfik menyatakan, setiap negeri mempunyai sentimen kenegerian yang hanya melibatkan pengundi-pengundi yang mengundi di negeri berkenaan.

“Setiap negeri ada figura politiknya dan kita jangan nafikan bahawa setiap figura poltik itu, dia ada kekuatan masing-masing dan hanya pengundi di negeri berkenaan faham dan tahu apa yang mereka mahu.

“Kita lihat pengundi luar tidak boleh define ataupun tidak boleh mendefinasikan apa kehendak yang diperlukan oleh pengundi tempatan sebab itulah kita kene turun ke lapangan, kita lihat apa yang dimahukan oleh pengundi tempatan isu-isu tempatan dan bagi  saya yang penting apabila sebuah kerajaan itu dibentuk di negeri berkenaan maka kerajaan tersebut kene serve kene khidmat kepada penduduk tersebut, ” jelas Dr Tawfik lagi ketika ditemubual MHI.

Walaubagaimanapun, Dr Tawfik meminta setiap pengundi terutama golongan muda membuat kajian dan menilai lebih mendalam calon yang bertanding sebelum membuat pemilihan pada 12 Ogos ini.

Loading...
Terkini