KUALA LUMPUR: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) bersedia untuk menyaman sekumpulan individu sebanyak RM1 juta kerana disyaki mengasari dan mencederakan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dalam kejadian di sebuah pasar tani di Chukai, Terengganu, Jumaat lalu.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata tindakan itu sebagai amaran keras kepada penganiayaan dan penindasan terhadap golongan tidak berdaya, khususnya OKU.
“Saman ini adalah nilai yang perlu dikenakan ke atas kumpulan penyerang itu kerana bertindak di luar batas undang-undang.
“Kumpulan peguam kami akan menghubungi keluarga lelaki berkenaan bagi berbincang dan berharap mereka bersetuju untuk memulakan proses saman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Zulkarnain mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak dwi standard dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan.
“Sehubungan itu, kami berharap keluarga lelaki OKU terbabit tidak menarik semula laporan polis walaupun selepas ini usaha memujuk mereka dibuat,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama, G57 juga bersedia untuk melangsaikan kerugian peniaga yang terjejas akibat kesilapan yang dilakukan lelaki berkenaan.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal dikatakan melanggar sebuah gerai jualan, kira-kira jam 9.30 pagi.
Perlanggaran itu menyebabkan barangan jualan seorang peniaga tumpah dan terjatuh sebelum mangsa dipukul beberapa lelaki sehingga cedera.
Mangsa yang juga OKU mental dibawa ke Hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar.
Sementara itu, polis menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.