SEOUL: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Korea akan dimuktamadkan pada tahun depan, dengan komitmen daripada kedua-dua negara untuk menyegerakan sebarang rundingan tertangguh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian berkenaan dijangka akan ditandatangani semasa lawatan balas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol ke Malaysia akan datang.
Menurutnya, rundingan tersebut tertangguh sejak 2019 kerana ketidakstabilan politik yang melanda negara ketika itu, tetapi senarion perniagaan dan politik adalah lebih baik ketika ini.
“Kami (Anwar dan Yoon) bincangkan pagi tadi, bahawa kami akan permudah dan percepat proses rundingna berkaitan FTA. Apabila dia (Presiden Yoon) datang ke Malaysia pada tahun depan, kita akan tandatangan dan muktamadkan FTA,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Perniagaan Malaysia-Korea 2024 di sini hari ini.
Anwar turut mengulangi daya tarikan Malaysia sebagai sebuah negara dagang dengan dasar yang jelas untuk meningkatkan potensi ekonomi negara dan rantau ASEAN secara menyeluruh.
“Kerajaan ketika ini bertekad untuk lakukan apa sahaja perubahan yang perlu untuk jadikan Malaysia menarik (kepada perniagaan dan pelabur) dengan dasar yang betul, insentif yang wajar dan infrastruktur yang cukup. Ini termasuk latihan, bakat profesional dengan pengetahuan teknikal. Isu-isu ini sedang diambil tindaka. Oleh itu, anda dapat lihat kadar pembangunan (yang meningkat) dan ada kapasiti menarik industri baharu,” ujarnya.
Forum Perniagaan Malaysia-Republik Korea 2024 dihadiri oleh 147 syarikat tempatan yang melibatkan 60 syarikat pembuatan, 78 syarikat perkhidmatan, runcit dan pengedaran, serta sembilan pertubuhan perniagaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.