TANJUNG MALIM: Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan yang julung-julung kali dianjurkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya memberi impak positif terhadap pendidikan tinggi kedua-dua negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah penting dalam memperkukuh kerjasama akademik.
Forum ini turut menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), Letter of Intent, dan Letter of Agreement antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.
Selain itu, forum ini turut menyaksikan penubuhan Konsortium Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan (MUHEC) yang diterajui UPSI, bertujuan menggalakkan mobiliti akademik, penyelidikan bersama dan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan tinggi.
Ia membincangkan pelbagai topik termasuk sains dan inovasi dalam pendidikan tinggi, ekonomi hijau, Revolusi Industri 5.0, kecerdasan buatan (AI), serta perbankan Islam dalam era teknologi kewangan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan, Konratbay Sharipov yakin forum ini akan membuka jalan bagi perkongsian strategik dan mempererat hubungan akademik antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff menegaskan, forum ini membuka peluang luas dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan memperkasa pendidikan tinggi ke peringkat global.
Dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Uzbekistan, lebih 100 universiti dari kedua-dua negara turut serta dengan 56 nota kerjasama ditandatangani.
Forum bertemakan “Uzbekistan-Malaysia: Opportunities and Initiatives for Achieving Sustainable Development Goals in Higher Education” turut disertai pameran sukan, sains, teknologi, budaya, dan pendidikan.
Penganjuran ini mengukuhkan peranan UPSI dalam memperluas jaringan akademik global dan meningkatkan daya saing pendidikan tinggi Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.