Tumpuan :
Nasional

FOMCA cadang Jawatankuasa Khas Kawal Selia ditubuhkan bagi kawal penjagaan kesihatan swasta

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Saravanan Thambirajah.

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan agar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mempertimbangkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kawal Selia bagi sektor penjagaan kesihatan swasta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saravanan Thambirajah, ia bagi memastikan pengguna dilindungi daripada sebarang kenaikan caj rawatan di hospital swasta atau kenaikan premium insurans yang tidak munasabah.

“Daripada sesi pendengaran awam hari ini FOMCA harap PAC akan mempertimbangkan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas dibawah Jabatan Perdana Menteri untuk kawal selia sektor penjagaan kesihatan swasta dan syarikat insurans.

“Jadi apa-apa isu berkaitan inflasi perubatan, caj rawatan swasta boleh melalui jawatankuasa ini. Kita harapkan apa-apa caj selepas ini lebih terbuka kepada pengguna, apabila pengguna mendapatkan rawatan dan khidmat insurans mereka lebih dilindungi,” jelasnya.

Tambah Saravanan, sehingga kini tiada satu badan khusus yang memantau dua sektor berkenaan dan perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkaitan.

“Dah lama kerajaan tidak mengawal sektor penjagaan kesihatan swasta, kerana selalunya mana-mana negara sektor kesihatan ini akan dikawal selia oleh kerajaan sama sektor swasta atau kerajaan. Itu isunya, apabila terdapat caj tersembunyi, keuntungan lebih yang akhirnya membebankan pengguna.

“Kita mendapati ada isu peraturan yang timbul diantara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan dimana tiada satu badan khusus yang memantau sektor penjagaan kesihatan swasta dan syarikat insurans.

“Kami terima banyak aduan, selalunya apabila kami sampaikan aduan ini kepada agensi berkaitan, kita tidak dapat maklum balas yang positif serta tiada penyelesaian,” katanya.

Mengulas lanjut ujarnya, FOMCA terus dihujani dengan aduan daripada pengguna terutama warga emas yang terbeban dengan kenaikan premium insurans.

“Apabila terdapat caj tersembunyi, keuntungan lebih yang akhirnya membebankan pengguna. Daripada tahun 2008 kita dah libat urus dengan kerajaan berkaitan dengan isu insurans ini, memang kita dah suarakan isu ini kepada BNM, kementerian berkaitan.

“Selepas pandemik COVID-19, terdapat banyak kenaikan premium insurans dan ramai pengguna datang mengalami kenaikan insurans yang mendadak. Kebanyakan mereka ini adalah golongan warga emas, mereka menaiki kenaikan sehingga 70 peratus, ada yang sampai 300 peratus,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Buletin TV3 selepas menghadiri sesi pendengaran awam Prosiding Mengenai Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Takaful, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam anjuran PAC di Dewan Rakyat hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini