Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Rakyat perlu fokus kepada agenda kemajuan dan kepentingan negara tanpa terpengaruh dengan perkara yang boleh memecahbelahkan perpaduan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kesepakatan itu, katanya, akan membentuk politik dan ekonomi yang lebih stabil, sekali gus membolehkan manfaatnya dinikmati oleh majoriti rakyat di negara ini.
“Kemakmuran ekonomi ini membolehkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) ditingkatkan kepada RM13 bilion bagi membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup. Malaysia merupakan antara negara yang menyediakan sumbangan tinggi kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Penjawat awam juga menikmati kenaikan upah selepas 12 tahun dengan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM10 bilion pada tahun 2025 dan dijangka meningkat kepada RM18 bilion pada tahun 2026,” katanya.
Justeru, beliau mahu rakyat terus menolak isu perkauman yang sering dibangkitkan oleh segelintir pihak berkepentingan.
Dalam pada itu, kestabilan Malaysia, katanya, turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila negara berjaya memperkukuh hubungan diplomatik dengan semua negara, termasuk Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, China, dan negara-negara dalam Kesatuan BRICS.
“Ada orang bangkitkan, kita serah semua kepada China. Ini pun pemikiran yang rosak. Kalau kita banyak duduk di Amerika, tak apa pula. Dengan Eropah, tak apa pula. Ini mentaliti terjajah.
“Bagi kita, siapa pun termasuk China yang datang melabur, kita berikan galakan. Yang baik dengan kita, kita lebih baik dengan mereka. Ini dasar kita,” katanya.
Pendekatan itu, ujarnya penting berikutan kebangkitan China sebagai kuasa besar dengan kekuatan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti Deepseek yang mengejutkan dunia sejak tiga hari lalu.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Yang Dipertua PCCCI, Datuk Liew Chee Meng.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.