comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Fokus infrastruktur pusat pengajian tinggi di Sabah & Sarawak

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PUTRAJAYA: Peningkatan infrastruktur pendidikan tinggi di Sabah dan Sarawak perlu diberikan fokus bagi mencapai matlamat pendidikan tinggi negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Yusof Apdal berkata, fasiliti dan kemudahan perlu diberikan kepada pusat pengajian tinggi di dua negeri berkenaan sama seperti di kawasan-kawasan bandar.

“Kita perlu menyedikan kemudahan pengajian tinggi kepada Sabah dan Sarawak sepertimana di kawasan-kawasan bandar di Semenanjung, seperti di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Peningkatan pendidikan tinggi (di Sabah & Sarawak) perlu diberikan fokus bagi membentuk sebuah negara yang kita impikan,” katanya selepas menyertai mesyuarat pertama beliau dengan kementerian berkenaan seusai sesi ‘clock in’ di putrajaya pagi tadi.

Tambahnya, menyeimbangkan taraf pendidikan tinggi di seluruh negara antara cabaran yang perlu dihadapi beliau selepas dilantik menjadi Timbalan Menteri.

Dua negeri berkenaan juga perlu diberikan perhatian oleh kerajaan terutamanya dalam aspek pendidikan kerana ia jelas menunjukkan tahap perbezaan yang ketara dengan negeri-negeri lain.

Tegas beliau, sekiranya pencapaian pendidikan tinggi tidak seimbang di stiap negeri, maka ia juga akan menjejeaskan pencapaian kementerian itu.

Untuk rekod, beliau telah mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim Sabtu lalu di Istana Negara.

Beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Lahad Datu P.188 dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu dengan majoriti sebanyak 4,376.

Mewakili Parti Warisan Sabah (WARISAN), beliau meraih sebanyak 27,116 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Maizatul Akmam Alawai yang beroleh 22,740 undi dan calon Pakatan Harapan (PH) Sia Yu Hock yang meraih undi sebanyak 8,289.

Loading...
Terkini