Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Menangani permasalahan asas di hospital dengan menggunakan polisi tepat menjadi fokus awal Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mengemudi semula Kementerian Kesihatan (KKM).
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga bertekad untuk melaksanakan agenda transformasi kesihatan digital secara menyeluruh.
Jelasnya, usaha transformasi berkenaan akan dijayakan secara berkumpulan bersama Timbalannya, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan pasukan KKM yang diketuai Ketua Setiausaha, Datuk Seri Zaini Ujang.
“Fokus saya ialah cabaran segera tersabit penjagaan akut di hospital, permasalahan asas hospital juga akan saya depani dulu. Namun, (penyelesaian) itu tidak dapat dilakukan dengan terbaik kerana ia tersangkut cara penyampaian, jadi kedua-duanya iaitu sistem dan penyampaian akan kita tangani dengan polisi tepat,” katanya kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi KKM, di sini hari ini sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu.
Beliau yang tiba kira-kira 8.15 pagi di KKM disambut Lukanisman, Zaini dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan kemudiannya menghadiri taklimat ringkas bersama pengurusan tertinggi KKM.
Mengulas lanjut, menurut Dr Dzulkefly, beliau akan melakukan beberapa transformasi antaranya melibatkan digital, Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan perbelanjaan sektor kesihatan.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang memberi perkenan saya kembali kemudi dan pimpin KKM. Insya-Allah bersama pasukan ini, saya akan galas tanggungjawab besar, amanah berat ini,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan Dr Dzulkefly menjadi antara lima menteri baharu yang dilantik bagi menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Anwar dalam sidang media dilapor berkata, Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (AMANAH) tersebut diberi kepercayaan untuk kembali menerajui KKM kerana pengalamannya amat diperlukan untuk pengukuhan kementerian berkenaan.
Dr Dzulkefly yang pernah memegang portfolio Menteri Kesihatan pada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020, mengambil tempat Dr Zaliha Mustafa yang kini diberi tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).