comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Focus group’ tambah baik Indeks Persepsi Rasuah

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: ‘Focus Group’ ditubuhkan bagi melaksanakan tindakan penambahbaikan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di negara ini.

Penubuhan kumpulan itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Pasukan Petugas Khas CPI itu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Focus Group yang ditubuhkan itu diterajui Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Kementerian Kewangan dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Ia turut disertai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dan Kementerian Komunikasi.

“Objektif Focus Group yang dianggotai oleh agensi awam, swasta, dewan perniagaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah untuk melaksanakan tindakan-tindakan berhubung usaha-usaha penambahbaikan CPI mengikut bidang keutamaan masing-masing.

“Ia kemudiannya akan melaporkan kepada Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), SPRM selaku urus setia Pasukan Petugas Khas CPI,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, hasil dapatan Pasukan Petugas Khas akan dilaporkan di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, SPRM memaklumkan, mesyuarat juga membincangkan enam bidang yang perlu diberi keutamaan iaitu penguatkuasaan, pengurusan dana awam, daya saing perniagaan, risiko pelaburan, perundangan dan komunikasi strategik.

Pasukan Petugas Khas CPI ditubuhkan untuk mencari jalan dan mengesyorkan strategi bagi meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI.

Ia selaras penetapan sasaran kedudukan Malaysia di tangga ke-25 teratas dunia menjelang tempoh 10 tahun sepertimana termaktub dalam Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Ke-12.

Perkara tersebut juga selaras dengan Teras Keberhasilan Reformasi Pertama: Penghayatan Nilai dan Tatakelola dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan tujuh sasaran utama Ekonomi MADANI.

“Pasukan ini menekankan bahawa usaha meningkatkan CPI menjadi tanggungjawab semua pihak dan bukan semata-mata di bawah SPRM.

“Antara fungsi pasukan adalah mencadangkan
penambahbaikan dasar-dasar kerajaan serta meneliti langkah bagi mempercepat reformasi sektor awam bagi meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap usaha kerajaan dalam pemantapan tatakelola dan antirasuah,” menurut kenyataan itu.

Pasukan berkenaan dianggotai ketua-ketua setiausaha serta barisan pakar yang terdiri daripada Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden Transparency International-Malaysia, Dr Muhammad Mohan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini