SHAH ALAM: Sebanyak 70 peratus tiket penerbangan telah ditebus pelajar-pelajar universiti dan institusi pendidikan awam menerusi inisiatif FLYSiswa 2024 sehingga 10 Disember lalu.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, ia melibatkan 36,949 pelajar yang menebus baucar digital masing-masing dengan syarikat penerbangan negara.
“Walaupun inisiatif ini secara one-off, tetapi pelajar boleh dapat setiap tahun. Bagi FLYSiswa tahun ini yang tebus 70 peratus, kita peruntukan kepada lebih 50,000 pelajar, yang sudah tebus sudah lebih 34,000 pelajar.
“Sebanyak 30 peratus masih belum tebus, kita ingatkan mereka sehingga 31 Disember 2024, mereka boleh tebus dulu dah dapat kredit itu dia boleh beli tiket penerbangan bila-bila masa tahun depan,” katanya.
Tambah Anthony, inisiatif kerajaan itu terbukti meringankan beban dihadapi pelajar-pelajar untuk membeli tiket penerbangan untuk pulang ke kampung halaman
“Kita bagi bantuan RM400 seorang bermaksud program ini peruntukan hampir RM20 juta untuk insiatif ini, tahun depan kita ada peruntukan RM48 juta.
“Jadi dua inisiatif pertama ini bantuan subsidi pelajar IPTA dan keduanya menetapkan kadar tambang maksima untuk musim perayaan.
“Sebab itu kita dapat menambah peruntukan ini kepada RM400 bagi membantu mengurangkan beban pelajar kerana kalau balik dan beli tiket lebih awal mungkin pergi dan balik kosnya RM400,”katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Karnivel FLYSiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini.
Inisiatif FLYSiswa dilaksanakan sejak 2023 dimana pelajar-pelajar universiti awam, politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) diberi subsidi bantuan tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.