Tumpuan :
Nasional

Floria Diraja Putrajaya Lanjut Hingga Ahad, Masuk Percuma

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (tengah) beramah mesra bersama petugas dan pengunjung Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022 (Floria Diraja).

PUTRAJAYA: Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022 (Floria Diraja) dilanjutkan sehingga Ahad ini berikutan sambutan yang menggalakkan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keputusan itu seiring dengan musim cuti sekolah yang berakhir Ahad ini.

“Kita harap ramai ibu bapa dapat bawa anak-anak dalam tempoh ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis penutup Floria Diraja di sini, hari ini.

Datuk Seri Shahidan turut mengumumkan festival selama lima hari ini dibuka secara percuma.

Sebelum ini, tiket masuk berharga RM15 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun manakala golongan kurang upaya masuk adalah percuma.

Menurut beliau, acara yang menampilkan hampir sejuta jenis pokok, tumbuhan dan bunga yang ditanam itu telah menerima 400,000 pengunjung setakat hari ini.

Bagaimanapun beliau berharap sasaran 500,000 pengunjung dapat dicapai sehingga Ahad nanti.

Floria Diraja Putrajaya beroperasi dari 9 pagi hingga 10 malam.

Loading...
Terkini