Tumpuan :
Nasional

Flashmob pertama UiTM di Korea Selatan

PETALING JAYA: 40 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mempersembahkan flashmob pertama di Myeongdong, Korea Selatan melalui Program UiTM – Youth Global Outreach 2023.

Salah satu aktiviti menarik telah diadakan iaitu ‘Sarong in Seoul’ selain melibatkan persembahan 10 buah lagu dan tarian tradisional yang berbeza.

Antara lagu yang diperdengarkan ialah ‘Lenggang Kangkung’, ‘Ketipang Payung’, ‘Ikan Kekek’, ‘Bujang Lapok’ dan banyak lagi.

Turut diperagakan, pakaian tradisional dari pelbagai budaya seperti Melayu, India, Cina, dan suku kaum Kadazan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Sazili Shahibi menyatakan, pertukaran budaya ini sangat penting, kerana budaya merupakan identiti kepada sesebuah bangsa dan negara.

“Dalam pelaksanaan program seperti yang terdapat dalam program outreach ke Korea Selatan baru-baru ini, para peserta program telah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan mereka telah mendekati rakyat Korea untuk mempersembahkan tarian serta pakaian tradisional yang mereka kenakan di Myeongdong, Korea Selatan.”

Ketua Aktiviti Flashmob, Nik Nur Khaleeda menambah, aktiviti ‘flashmob’ ini adalah salah satu cara mudah untuk memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat Korea melalui tarian tradisional dan peragaan pakaian tradisional.

“Seperti yang kita semua maklum, Myeongdong merupakan bandar yang sibuk dengan pengunjung dari seluruh dunia. Oleh itu, pemilihan tempat untuk melaksanakan aktiviti flashmob ini adalah tepat dan strategik,” kata Nik Nur Khaleeda.

Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti budaya seperti ‘flashmob’ ini turut menyumbang kepada matlamat Pelan Strategik UiTM 2025 (UiTM2025) dan memperkukuh pengalaman mahasiswa dalam pertukaran budaya serta kepentingan pemeliharaan warisan budaya yang telah diwarisi.

UiTM terus berusaha menjadi universiti yang berwibawa di peringkat global dan melahirkan mahasiswa yang berwawasan serta bertanggungjawab dalam merealisasikan aspirasi untuk pembangunan lestari dan pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Loading...
Terkini