Oleh: Aslina Abu Bakar
PUTRAJAYA: Berita baik buat ibu bapa apabila ada tapisan filem animasi luar negara sebelum ditayangkan kepada kanak-kanak di negara ini.
Melalui platform penstriman Durioo plus, karya antarabangsa akan menjalani proses pelarasan ketat termasuk penapisan menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau AI.
Ia sekaligus menjadikan platform itu sebagai pelopor utama industri tempatan untuk memastikan kanak-kanak boleh menikmati hiburan selamat yang menerapkan nilai-nilai Islamik.
Juruanimasi Malaysia, Sinan Ismail berkata, tayangan perdana filem dari China ‘Cats The Movie’ menjadi filem pertama yang disunting sepenuhnya dengan teknologi AI.
Jelasnya, ia dilakukan dengan mengubah elemen filem generik kanak-kanak kepada filem khas untuk anak-anak Muslim.
“Menggunakan teknologi terkini, pemakaian karakter utama filem itu ditukar bagi memastikan ia tampil lebih sopan.
“Selain itu, skrip dan usaha alih suara juga mendapat olahan komprehensif dengan memasukkan ungkapan islamik yang dituturkan oleh watak kucing utama,”katanya ketika ditemui di Tayangan Perdana ‘Cats The Movie, di sini, hari ini.
Sinan berkata, setakat ini sebanyak lima ribu 500 kandungan yang terdapat dalam Durioo plus selamat ditonton oleh kanak-kanak.
Penonton, Dr Afifah Hidayah Tawfek, 33, yang ditemui sempena tayangan filem berkenaan juga menyambut baik usaha itu.
Beliau berpendapat, usaha itu wajar dijadikan contoh bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan tidak sihat di platform digital.