Tumpuan :
Nasional

Filem Anwar, The Untold Story temui penonton Mei ini

Zunar (tiga dari kanan) bersama pengarah, Viva Westi (empat dari kanan) dan barisan pelakon pada sidang media filem Anwar, The Untold Story di sebuah hotel, semalam. – FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Filem Anwar, The Untold Story mengisahkan ranjau politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menemui penonton secara rasmi di pawagam seluruh negara pada Mei ini.

Penerbit Eksekutif, Zukiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar, berkata filem itu digarap berdasarkan kisah sebenar berlaku dalam sebahagian hidup Anwar ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.

“Cerita dalam filem ini versinya daripada Anwar sendiri, ada juga versi yang jarang didengari oleh rakyat Malaysia dan daripada domain awam tetapi yang terpendam, contohnya cerita laporan siasatan lengkap beliau ketika dalam lokap.

“Sama ada ini diterima sebagai kebenaran, terpulang kepada penonton, tetapi kami berusaha semaksimum mungkin mengambil cerita yang tercatat dalam perundangan dan hasil temu bual dengan orang yang terlibat,” katanya pada sidang media filem Anwar, The Untold Story di sebuah hotel, semalam.

Filem sentuhan pengarah Indonesia Viva Westi itu dibintangi pelakon terkenal seperti Farid Kamil Zahari, yang memegang watak utama sebagai Anwar dan Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan dibantu pelakon Indonesia seperti Acha Septriasa (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Selain Malaysia, filem terbitan Bianglala Entertainment turut menjalani penggambaran di Indonesia dengan kos sebanyak RM10 juta.

Zunar (kanan) dan pelakon utama filem Anwar, The Untold Story, Farid Kamil yang memegang watak Anwar. – FOTO NSTP/Aziah Azmee

Mengulas lanjut, Zunar berkata, hasrat menerbitkan filem itu bukan dibuat selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, sebaliknya idea sudah ada sejak 20 tahun lalu ketika awal gerakan reformasi.

“Sebenarnya, saya sendiri mencatatkan cerita perjuangan Anwar sejak reformasi lagi. Saya memang berhasrat menjadikan filem, tetapi tidak pernah kesampaian sehinggalah saya berhubung dengan Viva sekitar Ogos 2021.

“Selepas berkenalan lebih seminggu, barulah ada perbincangan serius untuk menghasilkan filem, seterusnya membangunkan skrip,” katanya.

Beliau berkata, filem itu bukan berunsur politik, namun mesej yang ingin ditonjolkan berkisar seorang tokoh politik yang secara konsisten dan tegas menentang amalan rasuah dan akhirnya merengkuk di penjara.

“Sama ada Anwar menjadi Perdana Menteri atau tidak, ia tidak timbul, kami tetap angkat filem ini dan percaya mesej diketengahkan baik dan perlu disampaikan kepada orang ramai serta diangkat sebagai dokumentasi sejarah.

“Bagaimanapun, kami boleh dikatakan bernasib baik apabila sebaik sahaja filem siap keadaan politik sudah berubah dan ia menjadi bonus kepada kami yang akhirnya dapat ditayangkan di pawagam kelak,” katanya.

Sementara itu, Farid berkata, dia bertuah kerana sejak bergelar pelakon belum pernah diberi tanggungjawab besar memegang watak pemimpin politik yang pengaruhnya kuat dalam dan luar negara seperti Anwar.

“Saya sempat berjumpa dua, tiga kali sebelum Parlimen dibubarkan, beliau banyak membantu saya untuk memahami situasi sebenar apa yang ditulis di dalam skrip.

“Momen paling indah apabila filem siap, beliau juga diangkat sebagai Perdana Menteri yang ke-10. Akhirnya doa saya dan jutaan rakyat Malaysia lain termakbul untuk melihatnya,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini