Tumpuan :
Nasional

FGV Sasar Tingkat Bekalan Mingguan Ayam Kampung 10,000 Ekor Ke AEON Big

Oleh Amanda Lopez 

SERDANG: FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Sdn Bhd sasar mempertingkatkan bekalan ayam kampung dari 1,000 ekor ke 10,000 ekor menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya, berkata semua ayam kampung ketika ini diternak peserta Projek Pembangunan Peneroka (PPP) di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di bawah pengurusan pertanian kontrak.

“FGV akan mengambil ayam daripada penternak terus hantar kepada Aeon Big, tidak ada orang tengah atau ejen yang menguruskan ini. Jadi, penternak akan mendapat margin keuntungan yang lebih tinggi” katanya.

FGV akan membekalkan makanan ternakan kepada penternak di bawah projek FELDA dan BMTKM dan komited untuk membeli balik dan memasarkannya di pasar raya Aeon Big di seluruh negara di bawah jenama Ladang’57. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran makanan ayam kampung FGV ALMA – Bernas dan pemasaran ayam kampung Ladang’57 di AEON Big pagi tadi.

Pelancaran ini disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansur; Pengarah Urusan Kumpulan, Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), Datuk Haris Fadzilah Hassan dan Pengarah Urusan, AEON Big (M) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

FGV turut berkerjasama dengan Bernas untuk menghasilkan formulasi baharu makanan ternakan ayam kampung yang diperbuat daripada produk sampingan daripada kilang pemprosesan padi dan beras.

Inisiatif itu dijangka mengurangkan sebanyak 10 peratus kos pengeluaran dengan menggantikan komponen bijirin jagung yang diimport. Produk sampingan sebanyak 30,000 metrik tan setahun ini akan digunakan khusus untuk menghasilkan makanan ternakan ayam kampung ALMA.

Selain makanan ternakan ayam kampung, FGV sebelum ini melancarkan rangkaian produk makanan haiwan ALMA  untuk daging lembu, lembu tenusu, kambing dan biri-biri.

Ketika ini, Malaysia mengeluarkan kira-kira 8 juta ekor ayam kampung setiap tahun dan hampir 10 peratus daripada pengeluaran itu dieksport ke Singapura, manakala selebihnya diedarkan di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Potensi bekalan makanan ternakan untuk industri ini dijangka mencapai sebanyak 32,000 tan metrik setahun.

Loading...
Terkini