JOHOR BAHRU: Nombor pendaftaran kenderaan ‘FF 1’ bagi Putrajaya menjadi milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas baginda berjaya membidanya dengan tawaran tertinggi iaitu RM1.2 juta.
Satu acara khas turut diadakan bagi penyerahan nombor ‘istimewa’ itu apabila Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan.
Sebelum ini, media melaporkan bidaan nombor pendaftaran kenderaan bagi siri ’FF’ mencatatkan hasil kutipan tertinggi dalam sejarah sistem bidaan JPJeBid dengan kutipan berjumlah RM34.3 juta.
Pada 1 Julai 2016, Sultan Ibrahim turut memenangi bidaan nombor pendaftaran kenderaan ‘F1’ iaitu turutan nombor baharu bagi Putrajaya pada nilai RM836,660.
Baginda juga secara sah menjadi pemilik nombor pendaftaran ‘VR46’ dengan nilai bidaan yang tinggi iaitu RM55,002.20 pada 8 Februari 2017.
Pada 26 Mei 2012, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyenaraikan pemilik nombor pendaftaran kenderaan yang paling mahal dalam sejarah Malaysia ketika itu adalah Sultan Johor dengan nilai RM520,000 untuk nombor pendaftaran ‘WWW1’.