Oleh: Najwa Azaha
Fesyen muslimah yang menampilkan gaya sopan kini bukan sahaja popular dalam kalangan wanita berhijab, malah makin diterima oleh wanita tidak berhijab dan wanita bukan Islam.
Pakaian menutup aurat kini boleh diperagakan sekali gus memberi alternatif kepada wanita berhijab tampil bergaya dan berketerampilan, berpandukan lunas hukum syarak.
Penyampai berita TV3, Azliyanti Ib-Berahim berkata, masyarakat Malaysia semakin terbuka tentang fesyen muslimah sejak 10 tahun yang lalu.
“Sekarang ni memang banyak persembahan fesyen (berkonsepkan fesyen muslimah) dah ada dekat KL ni, setiap tahun ada, dari situ kita nampak ilmu masyarakat tentang fesyen ini (muslimah) semakin meningkat,” katanya.
Penerimaan fesyen muslimah oleh masyarakat
Meskipun persepsi orang ramai terhadap persembahan fesyen adalah seksi, ‘kain singkat’ dan sebagainya, namun realiti industri ini tidak lagi seperti dahulu.
Menurut Penganjur Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2023, Andrew Tan, semakin ramai model yang berhijab diambil untuk menggayakan busana pereka fesyen.
“Bila kita adakan pencarian model KL Fashion Week, ada yang datang berhijab. Tahun lepas kita ada pilih seorang (wanita berhijab), begitu juga dengan tahun ini.
“Saya sangat teruja kerana kita semakin terbuka melihat potensi wanita berhijab dalam industri ini,” kata Andrew.
Selain itu, penerimaan ini bukan sahaja bagi wanita Islam di Malaysia, malah wanita bukan Islam turut memperagakan fesyen muslimah ini dalam kehidupan mereka.
@buletintv3 Fesyen muslimah yang menampilkan gaya sopan kini bukan sahaja popular dalam kalangan wanita berhijab, malah makin diterima oleh wanita tidak berhijab dan wanita bukan Islam. #beritaditiktok#buletintv3 #fesyenmuslimah #trendsemasa #fesyenterkini ♬ original sound – BuletinTV3
Situasi ini juga dapat dilihat dalam persembahan fesyen itu sendiri apabila model wanita bukan Islam turut memperagakan pakaian muslimah di atas pentas.
Pengasas Buttonscarves, Linda Aggrea berkata, fesyen muslimah ini tidak terbatas kepada wanita beragama Islam sahaja.
“Fesyen muslimah adalah untuk semua, bukan sekadar wanita beragama Islam. Asalkan kita boleh sampaikan pesanan yang tepat dan menghasilkan pakaian yang sesuai dengan keperluan masyarakat,” katanya.
Fesyen muslimah kini menembusi pasaran global
Fesyen muslimah kini mendapat sambutan yang luar biasa di pentas antarabangsa.
Pengacara popular, Dayah Bakar berkata ia kini satu perkara yang diterima masyarakat antarabangsa.
“Saya rasa sekarang kalau tengok dunia fesyen memang dah berubah. Dia tidak seperti dulu yang seksi-seksi, kain singkat dan sebagainya. Fesyen muslimah ini nampak lebih bergaya dan sangat elegan.
“Saya rasa penerimaan (fesyen muslimah) akan jadi lebih tinggi and mungkin permintaannya akan lebih banyak,” katanya.
Fesyen muslimah menjadi inspirasi bagi kaum wanita untuk menyesuaikan stail terkini dengan identiti mereka sebagai seorang muslimah.
Ia juga membantu mewujudkan satu segmen pasaran baharu sekali gus meningkatkan lagi pendapatan negara.
Cabaran dalam menggayakan fesyen muslimah
Selain penerimaan terhadap fesyen muslimah, mengadaptasi gaya fesyen ini dalam kehidupan seharian juga antara cabaran yang perlu ditempuhi.
Dayah Bakar berkata, tidak semua pakaian fesyen muslimah yang diperagakan sewaktu persembahan fesyen sesuai dipakai bagi urusan harian.
“Kadangkala jika kita lihat persembahan fesyen, banyak pakaian yang cantik-cantik. Tetapi kebanyakan tidak sesuai untuk wanita-wanita yang ingin jadikan pakaian harian.
“Itu adalah cabaran yang saya rasa kita harus lebih cakna dan beri fokus,” katanya.
Di samping menitikberatkan gaya fesyen, kualiti kain juga penting kerana ia ibarat ‘kulit kedua’ bagi manusia.
Azliyanti berpendapat pemilihan material kain amat dititikberatkan bagi memastikan pakaian yang dipilih selesa untuk dipakai.
“Cabaran (fesyen muslimah) pada saya adalah memilih kualiti kain itu sendiri, macam mana kita nak menggayakan terpulang kepada kita. Banyak material yang bagus di luar sana yang kita boleh gunakan. Kita perlu bijak memilih dan menggayakannya,” kata Azliyanti yang hadir pada malam KLFW 2023 lalu.
Identiti fesyen muslimah
Malaysia sinonim dengan identiti pemakaian tersendiri seperti batik, kebaya, baju kurung dan pelbagai lagi sekaligus membentuk satu citarasa yang sesuai dengan motif Malaysia.
Apabila ditanya samada fesyen muslimah di Malaysia dipengaruhi oleh negara luar, pelakon, Elfira Loy berkata, wanita Malaysia mempunyai citarasa mereka tersendiri.
“Apa yang saya dengar dari negara jiran, fesyen di Malaysia tidak ketinggalan. Jika orang luar lihat kita (fesyen Malaysia) mereka tahu kita dari Malaysia,” kata pelakon terkenal itu.
Fesyen di Malaysia tidak bergantung dengan negara luar dan mula mempersembahkan idea-idea yang unik sesuai dengan masyarakat setempat.
“Kalau dulu mungkin kita terikut-ikut negara luar, tetapi sekarang kita ada idea kita sendiri yang boleh dicungkil daripada bakat-bakat muda,” kata Azliyanti.
Dengan adanya identiti sendiri, fesyen muslimah tidak lagi dipandang konservatif dan ketinggalan zaman.
Membawa tema “Meraikan Bandaraya Kuala Lumpur”, KLFW 2023 telah berlangsung selama tujuh hari di tujuh lokasi berbeza dan menamatkan tahun ke-11 penganjurannya di InterContinental Hotel, Kuala Lumpur, pada 27 Ogos lalu.