comscore
Tumpuan :
Nasional

Festival Muzik Good Vibes dibatalkan, hormati Istiadat Pertabalan Agong

PETALING JAYA: Penganjur Festival Muzik Good Vibes akur dengan nasihat Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) untuk tidak mengadakan konsert pada 20 Julai ini sebagai menghormati Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Justeru pihak penganjur mengambil keputusan untuk membatalkan festival terbabit yang sepatutnya berlangsung pada 20 dan 21 Julai ini.

Ini berikutan festival berkenaan membabitkan ramai artis dan pemuzik di mana sukar untuk penganjur menetapkan tarikh baru.

Perkara itu dinyatakan penganjur menerusi satu kenyataan hari ini.

Susulan itu orang ramai yang telah membeli tiket festival ini akan mendapat bayaran balik.

Terdahulu, dalam satu kenyataan JK-PUSPAL memaklumkan pihaknya menerima sebanyak lima permohonan penganjuran konsert pada 20 Julai.

Menurut JK-PUSPAL, tarikh berkenaan bertindih dengan tarikh Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Berdasarkan Garis Panduan PUSPAL (GPP), perkara 16.1(f) menyatakan mengenai Tempoh Larangan Mengadakan Persembahan Konsert ALN dan Persembahan Luar Negara Berskala Besar, iaitu ‘Penganjur adalah tidak dibenarkan untuk mengadakan persembahan konsert ALN dan persembahan ALN berskala besar pada hari-hari lain yang diputuskan tidak sesuai oleh kerajaan atau Kerajaan Negeri mengikut mana-mana yang berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihak penganjur dinasihat untuk meminda tarikh penganjuran konsert dan mengadakannya pada tarikh baharu yang bersesuaian seperti yang ditetapkan dalam GPP.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini