Tumpuan :
Nasional

Festival Lentera: Sisiran Tasik Putrajaya jangka tarik 1.5 juta pengunjung

Foto tangkap layar Perbadanan Putrajaya / Facebook

PUTRAJAYA: Festival pencahayaan edisi khas, Festival Lentera: Sisiran Tasik Putrajaya 2024 dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) buat julung kalinya dijangka menarik 1.5 juta pengunjung.

Presiden PPj Datuk Fadlun Mak Ujud berkata  penganjuran festival adalah bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024 dan Ulang Tahun Penubuhan PPj yang ke-28 iaitu pada 1 Mac ini.

Beliau berkata berkonsepkan “Tradisi dan Cahaya”, keunikan dan identiti festival itu adalah pertunjukan pencahayaan Grand Light Symphony dan Musical Fountain di Tasik Putrajaya.

“Festival ini turut dimeriahkan dengan elemen pertunjukan kebudayaan tradisional Melayu, Cina, India dan Borneo yang dibawakan oleh pasukan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta komuniti Putrajaya, selain dekorasi pencahayaan di atas air seperti pertunjukan bot-bot berhias bercahaya,” katanya dalam majlis perasmian di sini hari ini.

Beliau berkata penganjuran festival selama sembilan hari bermula hari ini sehingga 3 Mac menawarkan lebih 30 komponen dekorasi pencahayaan kepada pengunjung.

Antara tumpuan adalah Lil’ Lumin’s Land, Laman Komuniti Putrajaya, Laman Melayu, Laman China, Little India, Laman Retro, English Garden, Laman Dulu-Dulu, Jurassic Reverie, Enchanted Arbor, Tetris Harmony, Atma Kirana, Lumina Matrix dan Algorithmic Aurora.

Tumpuan lain termasuk Fantasy Garden, Panda Garden, Tree of Life, Lollipop Garden, Heart Shape Tunnel, Blue Tunnel, Avatar Trees, Aurora River, Misty Forest, Firefly Garden dan Paddy Field.

Di samping itu, lebih 20 acara sampingan turut dianjurkan antaranya Pertandingan Kreativiti 3R, Petting Zoo, Kampung Beca, Persembahan Kebudayaan, Persembahan Band Buskers, Wayang Kulit, Wayang Pacak, Pertunjukan Remote Control Aircraft Bercahaya, Paraglider Bercahaya, Zumba Glow in the Dark dan teksi air.

Bagi pengunjung yang menggunakan pengangkutan awam boleh menaiki MRT ke stesen Putrajaya di Putrajaya Sentral dengan bas perantara percuma disediakan dengan kekerapan setiap 30 minit dari Putrajaya Sentral ke Anjung Floria bermula 4.30 petang hingga 10 malam dan dari Anjung Floria ke Putrajaya Sentral bermula 5 petang hingga 11 malam.

Tiket masuk boleh dibeli secara dalam talian atau di pintu masuk dengan harga RM10 bagi dewasa manakala RM5 bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun dan warga emas bagi warganegara Malaysia.

Bagi bukan warganegara, harga tiket dewasa adalah RM30 manakala kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun dikenakan RM15.

Tiada caj masuk dikenakan bagi pemegang kad orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak di bawah enam tahun ke bawah (warganegara Malaysia) dan tiga tahun ke bawah (bukan warganegara).– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini