PASIR GUDANG: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-25 yang diadakan di Bukit Layang-Layang di sini, mulai Rabu lalu hingga hari ini dapat membantu menjana kemakmuran ekonomi setempat.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, festival memasuki usia Jubli Perak itu telah menarik kira-kira 300,000 pengunjung dengan penyertaan pelayang dari 40 negara termasuk empat penyertaan baharu melibatkan Isle Of Man, Ireland Utara, Republik Czech dan Tahiti.
Beliau berkata, festival dengan kerjasama strategik Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Persatuan Pelayang Johor, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Tourism Johor, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor serta Persatuan Pelancongan Pasir Gudang itu turut mengharumkan nama Johor ke seluruh pelosok dunia.
“Ia tidak hanya menjadi acara pelancongan yang begitu signifikan di negeri ini khususnya dan negara amnya, FLLSPG ini diharap dapat memainkan peranan tersendiri dalam menjana kemakmuran ekonomi setempat.
“Saya dimaklumkan, selain daripada peserta berdaftar, jumlah peminat yang turut sama bermain layang-layang sepanjang festival ini berlangsung turut dijangka mencapai angka ribuan orang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian FLLSPG ke-25 di sini malam tadi.
Turut hadir Presiden MPM Datuk A. Rahim Nin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Sementara itu, A Rahim berkata festival bertemakan ‘Layangkasa Dinamik’ yang disertai 700 peserta kebangsaan dan 109 pelayang antarabangsa itu turut memberi kesan limpahan ekonomi kepada lebih 350 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dengan nilai jualan lebih RM23,000.
Menurut beliau festival yang sebelum ini terpaksa ditunda selama tiga tahun berikutan pandemik Covid-19 menarik pelancong tempatan dan luar negara untuk menyaksikan pertunjukan layang-layang sekali gus merangsang ekonomi di kawasan terbabit.
“Terdapat 40 negara menyertai festival ini dan mereka (peserta) bukan datang secara individu tetapi bersama rakan-rakan.
“Saya turut difahamkan inap desa dan hotel di sekitar Pasir Gudang mendapat tempahan penuh, semua ini adalah kesan daripada penganjuran FLLSPG,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena festival itu terutama acara menaikkan 25 wau tradisional Malaysia oleh peserta antarabangsa yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records.
Kali terakhir FLLSPG diadakan pada Februari 2019 manakala FLLSPG ke-25 yang dijadual berlangsung pada Februari 2020 sebelum ini terpaksa dibatalkan berikutan kebimbangan terhadap penularan Covid-19.-BERNAMA