Oleh: Hilmi Abdul Malik
PUTRAJAYA: Festival Idea Putrajaya mampu menjadi platform yang menghimpunkan idea-idea baharu dalam kalangan anak muda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, objektif itu akan membawa kepada pertumbuhan positif khususnya membabitkan kerangka Malaysia Madani.
“Idea boleh bercambah, boleh berkecamuk, sebab itu penerimaan idea, kupasan idea sangat penting. Ini bermakna idea yang kita bicara adalah kerangka besar yang mempertahankan nilai murni termasuk kemanusiaan dan kebaikan.
“Negara harus membangun, membangun dengan idea, kita ungkapkan dalam kerangka besar MADANI, maknanya idea pembaharuan, ada yang mengakar ke bumi iaitu jati diri bangsa, nilai, budaya, bahasa, keyakinan dan kepercayaan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Festival Idea Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar yakin himpunan anak muda dan barisan golongan pendidik itu mampu memberi nafas segar kepada pentadbiran kerajaan yang akan datang.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar acara berkenaan dijadikan sebagai program tahunan bagi menggarap segala idea-idea segar dalam kalangan anak muda.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.