LANGKAWI : Jabatan Laut Malaysia (JLM) menubuhkan pasukan penyiasat bagi memastikan insiden feri terkandas di alur pelayaran di Jeti Kuala Kedah petang semalam, tidak berulang.
Kenyataan JLM menyebut, pasukan itu juga akan memantau pemeriksaan yang dilakukan organisasi diiktiraf ke atas keselamatan feri berkenaan, sebelum dibenarkan beroperasi semula.
“JLM menerima laporan kecemasan berkaitan insiden sebuah feri penumpang telah terkandas di alur pelayaran Kuala Kedah mengakibatkan enjin mati pada jam 4.16 petang semalam.
“Kejadian membabitkan feri membawa 139 penumpang termasuk enam bayi itu dilaporkan berlaku pada kedudukan 0.78 batu nautika dari Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah,” kata kenyataan itu.
Susulan insiden itu, JLM bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengaktifkan Pelan Kontigensi Mass Maritime Rescue Operation (MMRO).
“Menerusi operasi itu semua penumpang telah berjaya diselamatkan dan kemudian dibawa kembali ke Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah pada 6.21 petang.
“Selain JLM dan Maritim Malaysia, operasi itu turut membabitkan nelayan, operator feri, bot tunda, orang awam di sekitar Kuala Kedah,” kata kenyataan itu.
Dalam kejadian semalam, sebuah feri yang membawa 133 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi tersangkut berhampiran jeti Kuala Kedah sekitar jam 4 petang.
Ia kejadian kedua membabitkan feri penumpang tersangkut pada tali sauh kapal di kawasan Kuala Kedah dalam tempoh seminggu. -BULETIN TV3