Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Feri baharu Pulau Pinang mula beroperasi secara rasmi hari ini menggantikan feri ikonik dan boleh digunakan secara percuma selama sebulan sehingga 6 September.
Kira-kira 100,000 pengguna disasarkan menaiki feri baharu itu untuk satu hala dalam sebulan, menjadikan 1.2 juta penumpang dijangka menggunakan perkhidmatan itu untuk setahun.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjadi antara individu terawal yang menggunakan perkhidmatan feri baharu itu apabila beliau menaiki perjalanan pertama feri berkenaan pada jam 6.30 pagi dari Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth ke Pangkala Raja Tun Uda di George Town.
Artikel berkaitan: Penumpang teruja guna feri baharu Pulau Pinang
Katanya, feri baharu yang lebih efisien dan selesa itu diperkenalkan bagi memenuhi tuntutan semasa mengambilkira kepentingannya sebagai medium pengangkutan buat rakyat untuk berulang alik ke tempat kerja setiap hari.
“Feri Pulau Pinang kini berwajah baharu dengan pengoperasian empat buah feri yang dinamakan sebagai Teluk Bahang, Teluk Kumbar, Teluk Kampi dan Teluk Duyung menggantikan feri ikonik Pulau Pinang.
“Feri-feri baharu tersebut merupakan feri yang jauh lebih efisien dan selesa berbanding feri-feri ikonik.
”Saya ingin mengumumkan tambang percuma untuk semua penumpang bermula hari ini hingga 6 Septemberi. Ini merupakan inisiatif pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPP) dan Penang Port Sendirian Berhad (PPSB) meringankan beban kewangan penumpang feri,” katanya dalam sidang media, di sini, pagi tadi.
Selain pejalan kaki, feri baharu ini juga membawa motosikal dan basikal, namun tidak menawarkan perkhidmatan membawa kereta dan kenderaan berat lain seperti feri ikonik lama.
Jadual perjalanan baru juga diperkenalkan dengan pengoperasian setiap hari dari Butterworth dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 malam, manakala di bahagian pulau bermula seawal jam 7 pagi dan berakhir jam 10 malam.
”SPPP dan PPSB prihatin dengan kehendak dan keperluan rakyat Pulau Pinang khususnya yang menggunakan feri setiap hari telah menyediakan jadual feri dengan jumlah trip sebanyak 68 trip dua hala sehari.
”Kekerapan feri ini adalah setiap 20 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu bukan puncak, jadual ini juga adalah untuk hari bekerja dan pada hujung minggu atau cuti umum,” tambahnya lagi.
Kedua-dua terminal juga dilengkapi dengan ruang kedai dan gerai makanan, selain ruang menunggu yang lebih luas serta kemudahan untuk mengecas telefon bimbit.
Urusan pembelian tiket feri juga amat mudah kerana penumpang boleh membelinya menerusi sistem tiket elektronik dan juga menerusi e-wallet seperti Touch N Go, DuitNow, QR Pay dan lain-lain.