comscore
Tumpuan :
Nasional

Feri terkandas di beting, teruskan perjalanan ke Langkawi

Oleh: Selwam Arjunan

KUALA PERLIS: Feri Bahagia 168 yang terkandas selepas tersangkut pada beting pasir berhampiran perairan Kuala Perlis petang tadi, telah meneruskan perjalanan ke Langkawi selepas air pasang bermula jam 8 malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, feri membawa 567 penumpang itu dapat dikeluarkan dari kawasan beting pasir pada jam 9.30 malam.

“Situasi di atas feri terkawal dan tiada kebocoran berlaku, feri telah selamat bergerak dengan dibantu bot nelayan tempatan dan Bot Perkasa 1240.

“Air pasang membolehkan operasi menunda feri berjalan lancar dan kesemua penumpang berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Sementara itu, Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, kejadian terbabit berlaku disebabkan hujan lebat dan angin kencang menolak feri dari laluan asal ke kawasan beting pasir.

“Ini merupakan kejadian kali kedua berlaku di lokasi sama selepas kali pertama berlaku pada tahun 2018.

“Kita tidak melakukan pemindahan penumpang kerana hujan lebat dan faktor ketinggian feri yang mungkin membahayakan penumpang.

“Jadi kita ambil keputusan untuk mengekalkan penumpang memandangkan penghawa dingin feri masih berfungsi,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis, di sini.

Katanya, perjalanan feri dijangka mengambil masa satu jam untuk tiba ke Langkawi.

Terdahulu, feri itu  berlepas dari Terminal Penumpang Kuala Perlis pada jam 2.30 petang, sebelum tersangkut di beting pasir kira-kira satu batu nautika dari perairan Kuala Perlis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini