LANGKAWI: Fenomena laut terbelah susulan kemunculan beting pasir sepanjang 600 meter di Pantai Tanjung Rhu pagi ini menarik perhatian lebih 3,000 pengunjung.
Fenomena unik selama satu jam 15 minit bermula jam 6.45 pagi itu muncul sekali dalam setahun selepas air laut di kawasan itu dilaporkan surut sehingga 0.1 meter (m).
Kejadian sama yang menarik perhatian pelancong dan penduduk tempatan dijangka berulang esok mulai jam 7.30 pagi.
Turut meninjau fenomena air surut itu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah.
Mengulas perkara itu, Datuk Haslina berkata, keunikan fenomena yang jarang berlaku dan menarik perhatian ramai itu mula diketengahkan sebagai produk pelancongan di pulau legenda itu sejak empat tahun lalu.
“Dianggarkan 3,000 pengunjung terdiri penduduk tempatan dan pelancong tiba di sini seawal jam 6.30 pagi semata-mata bagi melihat sendiri fenomena air surut habis dan berjalan atas beting pasir sejauh 600 m.
“Kejadian (beting pasir) ini dikatakan berlaku sejak lebih 19 tahun lalu, namun LADA mengambil inisiatif bekerjasama dengan sebuah hotel berhampiran dan mempromosinya sebagai aset pelancongan sejak empat tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Muhammad Shuhaimi Abd Rahman mengesahkan air laut sekitar Langkawi surut pada paras 0.1 m selama dua hari pada awal pagi bermula hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.