KUALA LUMPUR: Fenomena La Nina di Malaysia yang berintensiti lemah hingga sederhana tidak memberi kesan yang ketara dari segi corak taburan hujan negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata fenomena itu tidak menunjukkan corak peningkatan jumlah hujan yang konsisten kerana ia memberi kesan unik dan berlainan.
“Di Malaysia, fenomena La Nina lemah ini dijangka tidak akan memberikan kesan yang signifikan terhadap taburan hujan di negara kita.
“Namun berikutan La Nina berlaku serentak dengan Monsun Timur Laut, sedikit peningkatan jumlah hujan mampu menyebabkan bencana banjir terutamanya di negeri di Pantai Timur Semenanjung dan Sabah,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) yang mahu tahu langkah diambil kementerian untuk menjangkakan potensi kesan fenomena La Nina ke atas Malaysia, khususnya dari segi tebatan banjir, kesiapsiagaan menghadapi bencana dan sokongan kepada masyarakat yang terdedah.
Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tahun bagi memantau situasi status La Nina ini.
Beliau berkata, METMalaysia mengeluarkan tinjauan cuaca jangka panjang berdasarkan konsensus beberapa model tinjauan iklim antarabangsa bagi mengesan pembentukan La Nina dan mengemaskini maklumat setiap bulan yang dipaparkan di laman web rasmi agensi itu.
“METMalaysia sentiasa melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap sistem ramalan cuaca negara bagi menghasilkan ramalan yang lebih tepat dan seterusnya dapat membantu pihak agensi pengurusan bencana untuk bertindak lebih awal dalam memastikan keselamatan rakyat terjamin.
“METMalaysia juga sentiasa terus membekalkan maklumat berkaitan kepada pihak pemegang taruh dalam usaha kesiapsiagaan menghadapi pelbagai kemungkinan bencana alam yang akan berlaku,” katanya.
Beliau berkata, seiring dengan perkembangan teknologi semasa bagi meningkatkan sistem penyampaian, METMalaysia membangunkan aplikasi mobil myCuaca yang dapat memberikan maklumat cuaca dan gempa bumi untuk diakses pada bila-bila masa oleh orang ramai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.