Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
DUNGUN: Fenomena cuaca panas melampau ketika ini memberi kesan kepada empat peserta usahawan bimbingan Risda di Kampung Durian Mentangau, di sini apabila 80 peratus tanaman mereka rosak dan hasil terjejas.
Keadaan itu menyebabkan mereka menanggung kerugian ribuan ringgit kerana tidak dapat menuai hasil tanaman yang diusahakan berikutan banyak pokok tanaman yang mati.
Bagi seorang peserta tanaman fertigasi, Mohd Nor Besar, 45, dia kerugian hampir RM40,000 apabila 2000 batang pokok cili dan bendi yang diusahakan sejak empat bulan lalu rosak akibat fenomena itu.
Menurut Mohd Nor, dia mengusahakan tanaman berkenaan di tanah seluas 1.2 hektar dan mengusahakan beberapa lagi jenis tanaman seperti, terung dan tembikai.
Ujarnya lagi, cuaca panas yang melampau menyebabkan sumber air bawah tanah yang digunakan untuk menyiram tanaman menjadi kotor dan tidak boleh digunakan bagi tanaman fertigasi.
“Sumber air bersih jauh dari paip utama dari kasawan pertanian ini dan menelan kos yang tinggi kalau mahu salurkan air bersih dari paip utama, jadi air bawah tanah ( Boreng ) sahaja yang ada di kawasan kebun.
“Cuaca panas juga menyebabkan air bawah tanah jadi berasid dan bila membaja ianya tidak diserap akar dan menyebabkan banyak pokok yang kering dan rosak,” katanya ketika ditemui.
Disebabkan itu dia terpaksa menanggung kerugian dengan menjual harga murah disebabkan hasil yang tidak menjadi.
Lebih malang beberapa orang pekerjanya juga hilang pendapatan berikutan tidak dapat bekerja akibat dari masalah terbabit.