comscore
Tumpuan :
Nasional

Fenomena air pasang besar: Ban pecah di pantai Sekinchan

Anggota JBPM memantau kawasan titik panas susulan fenomena air pasang besar di kawasan pesisir pantai Selangor. FOTO: JBPM

SABAK BERNAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, hari ini, mengesan satu ban yang pecah di Pantai Seri Sentosa, Sekinchan, berikutan fenomena air pasang besar.

Ketua Zon 7 Selangor Utara JBPM Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, bagaimanapun pihaknya masih membuat pemantauan di kawasan titik panas susulan fenomena itu.

Beliau berkata, selain Pantai Seri Sentosa, terdapat tiga kawasan di bawah jagaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan iaitu Bagan Sekinchan, Pantai Redang dan Pantai Batu 23 Sungai Nibong.

“Paras air pasang di kesemua kawasan ini masih terkawal.

“Kami juga menasihatkan penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan bertambah buruk dan segera menghubungi pihak bomba,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, di BBP Sabak Bernam pula, Samsol Maarif memaklumkan tujuh kawasan dipantau bomba, bermula jam 5 hingga jam 7.30 pagi.

“Kawasan itu adalah Bagan BNO, Bagan Sungai Lang, Bagan Parit Baru, Bagan Teluk Rhu, Sungai Air Tawar, Tebuk Mendeling dan Beting Kepah.

“Berdasarkan laporan, terdapat limpahan air berlaku di kawasan perumahan penduduk, namun masih dalam keadaan terkawal,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim mengingatkan penduduk di kawasan pesisir pantai di negeri itu berwaspada dalam mendepani fenomena air pasang besar yang dijangka berakhir 20 Oktober ini.

Izham dilaporkan berkata, paras air laut akan mencecah 5.7 meter (m) pada hari ini, manakala pada esok (5.5 m).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini