Tumpuan :
Nasional

FELDA bawah KKDW: Zahid akan bincang dengan PM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

BENTONG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya FELDA diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau berkata cadangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet selepas menerima ‘lampu hijau’ daripada Perdana Menteri.

Zahid yang juga Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau terlebih perlu berbincang mengenai cadangan itu bersama Perdana Menteri.

“Saya akan bawa perkara itu (letak Felda di bawah KKDW) kepada pengetahuan Perdana Menteri dan apabila beliau bersetuju, saya sendiri akan bawa ke Kabinet. Kita harap ia dapat menyelaraskannya (cadangan itu) tidak lama lagi,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Kompleks Lateks Agropolitian Chemomoi, di sini hari ini.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata cadangan meletakkan FELDA di bawah KKDW akan dibangkitkan dalam menteri berkaitan dalam Kabinet.

FELDA kini di bawah Bahagian Kawal Selia FELDA (BKSF) di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menambah 10 pusat pengoperasian pengumpulan lateks di seluruh negara menjelang 2025 dengan menggunakan dana dalaman .

Setakat ini, katanya ada lima pusat seumpama itu dibina dan bertujuan meningkatkan pengeluaran lateks negara di masa depan.

“Pembinaan pusat operasi pengumpulan lateks akan menggunakan dana dalaman untuk menambahkan pendapatan pekebun kecil getah.

“Selain itu, ia juga bertujuan mengurangkan kadar pengimportan lateks dari luar negara bagi kegunaan pihak pengilangan di negara ini yang mengeluarkan bahan berasaskan getah asli seperti sarung tangan dan pelbagai produk lain ,” katanya.

Beliau menegaskan, RISDA komited melaksanakan pembangunan industri getah negara berskala besar dengan Model Transformasi RISDA 2023 bakal dilaksanakan dengan fokus kepada peningkatan pengeluaran hasil lateks yang dijangka mampu mengeluarkan hasil satu juta tan metrik menjelang 2030.

“Kejayaan Ladang Agropolitan Chemomoi dilengkapi kompleks pengumpulan lateks boleh dijadikan model contoh kepada pelaksanaan cadangan getah negara berskala besar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini